Friday, July 31, 2009

PENYIBARAN SENJATA PEMUSNAH MASSA: KES LIBYA

PENYIBARAN SENJATA PEMUSNAH MASSA: KES LIBYA PROLIFERATION OF WEAPONS OF MASS DESTRUCTION: THE CASE OF LIBYA. INTERNATIONAL RELATIONS VOLUME 22 (1): 105-127 GAWDAT BAHGAT.2008.

Pengenalan

Artikel “Penyibaran Senjata Pemusnah Massa : Kes Libya” yang ditulis oleh Gawdat Bahgat meninjau perubahan dasar luar Libya dalam soal Penyibaran Senjata Pemusnah Massa dan perubahan pendirian negera itu terhadap hubungan antarabangsanya dengan dunia amnya dan negara-negara Barat khususnya dari tahun 1960-an hingga awal abad ke-21. Selepas kemerdekaan tercapai oleh Libya pada 1951, Libya berada di bawah pemerintahan Raja Idris yang mengamalkan polisi konservatif yang pro-Barat. Semasa pemerintahan baginda, Libya telah menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Pemusnah Massa pada Julai 1968. Pada 1hb. September 1969, apabila pemerintahan monarki baginda digulingkan oleh sekumpulan pegawai tentera yang diketuai oleh Mummar al Qadhafi, corak dasar luar Libya telah mula mengalami satu perubahan yang drastik. Pemerintahan Qadhafi telah berusaha untuk mengembangkan pengaruhnya di Dunia Arab dan Benua Afrika, bersikap anti-penjajah dan Dunia Barat, melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti keganasan dan membangunkan Senjata Pemusnah Massa demi memastikan kerajaannya berterusan. Sehingga lebih kurang tahun 2003, dasar luar negara itu telah beralih dari aspek keganasan dan menuju ke arah penglibatan diri semula ke dalam pentas politik dunia.

Hujah-Hujah Utama Gawdat Bahgat

Dalam rencananya, Bahgat telah membentangkan beberapa hujah. Hujah pertama, mengikut Bahgat, Presiden Qadhafi mempunyai semangat nationalisme Arab yang kuat dan berpendapat satu negara Arab yang bersatu perlu diwujudkan dengan cepat. Mengikut Qadhafi , salah satu sebab negara-negara Arab masih mundur ialah penjajahan yang lama oleh Turkey dan penjajah-penjajah Eropah.. Israel yang diwujudkan oleh kuasa-kuasa imperialisme di pertengahan Dunia Arab yang membahagi-bahagikan sumber-sumber kawasan tersebut juga menyebabkan negara-negara Arab lemah dan dibahagi-bahagikan. Oleh itu, Presiden Qadhafi telah terlibat dalam banyak rancangan untuk menyatupadukan negara-negara Arab. Walau bagaimanapun, kebanyakan negara Arab menyambut usaha beliau dengan sikap yang dingin. Akibatnya, Libya telah terlibat dalam banyak cubaan subversif dan pembunuhan terhadap kerajaan negara-negara Arab lain dan pemimpinnya. Selain itu, kekalahan negara-negara Arab dalam Perang Arab-Israel pada tahun 1967 telah menyemarakkan lagi semangat dan perasaan nasionalisme beliau dan menggunakan pendirian ketenteraan yang tidak bertolak-ansur terhadap Israel. Satu-satu cara untuk mengembalikan kegemilangan dan perpaduan Arab ialah memusnahkan negara Yahudi tersebut dan negara-negara Arab mesti memerlukan senjata nuklear yang setara dengan yang dimiliki oleh Israel. Presiden Qadhafi juga mengecam polisi pemimpin Palestine Yasir Arafat yang menggantikan perjuangan ketentetraan dengan penyelesaian secara aman dalam soal Palestine. Sejak awal tahun 2000-an, pendirian Libya telah semakin lembut dan Libya sedar bahawa ia tidak perlu lebih radikal daripada sebahagaian besar orang-orang Palestine yang telah menerima kewujudan Israel dan penyelesaian secara aman terhadap konflik itu. Penulis berpendapat bahawa pemimpin Libya itu telah menyedari bahawa kerajaannya tidak bergantung kepada slogan-slogan seperti “Pembebasan Palestine”atau “Penghapusan Israel” supaya ia boleh berterusan. Sebaliknya, ekonomi yang makmur dan integrasi semula ke dalam komuniti antarabangsa akan dapat lebih menjamin kesahan dan “survival” kerajaannya. Hujah kedua yang dikemukakan ialah bahawa perubahan suasana politik antarabangsa juga merupakan salah satu faktor kepada perubahan sikap pemerintah Libya. Terdapat perubahan yang drastik jika dibandingkan suasana politik antarabangsa pada akhir tahun 1960-an dengan tahun 1900-an dan 2000-an. Libya telah kehilangan sokongan kuasa besar akibat keruntuhan Soviet Union. Zaman penjajahan telah lalu dan perjuangan untuk mencapai pembebasan nasional telah semakin lenyap dan sebaliknya ditukarkan kepada zaman yang cenderung kepada integrasi ekonomi global. Malahan, seperti yang tersebut di atas, orang-orang Palestine dan setengah-setengah negara-negara Arab telah berubah sikap terhadap Israel. Memandangkan perkembangan dalaman, serantau dan antarabangsa, Qadhafi telah menerima norma-norma baru dan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa untuk melucutkan Senjata Pemusnah Massa Libya. Hujah ketiga meninjau soal itu dari aspek ekonomi pula.Sejak revolusi 1969, Presiden Qadhafi telah menggunakan pendapatan petroleum untuk mengekalkan keamanan negaranya, membiayai dasar luarnya yang “ambitious” dan membina keupayaan ketenteraan konvesyen dan bukan-konvensyen. Presiden Qadhafi selalu menganggap Libya sebagai satu bahagian yang mustahak di sub-Sahara-Afrika. Libya telah terlibat secara aktif dalam hal ehwal dan konflik yang berlaku di Benua Afrika. Strategi Libya ialah untuk mengurangkan pengaruh Barat dan Israel di Benua Afrika. Libya telah membekalkan bantuan kewangan dan ketenteraaan kepada beberapa “pergerakan pembebasan” di benua tersebut.Umpamanya, selama dua dekad Libya telah terlibat dalam kempen ketenteraaan di Chad dengan menyokong penentang-penentang kerajaan dan telah menduduki Azou Strip di selatan Chad. Libya telah dituduh menggunakan senjata kimia di Chad pada 1987. Tuduhan juga ditujukan kepada Libya bahawa ia telah membina tiga buah kemudahan senjata kimia di Rabta, Sebha dan Tarhuna pada 1980-an dan 1990-an. Petroleum merupakan satu-satunya komoditi penting dan tunggal yang digantung oleh Libya. Oleh itu, apabila sekatan ekonomi antarabangsa dikenakan ke atas Libya oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1990-an, telah dikatakan bahawa Libya telah mengalami kerugian ekonomi yang setinggi USD26.5 billion. Ini adalah kali pertama di mana komuniti antarabangsa berjaya mengenakan sekatan yang berkesan terhadap satu negara yang menyokong keganasan di bawah naungan Majlis Keselamatan. Sekatan ekonomi dan diplomatik telah memaksa Libya untuk membentuk satu sikap baru terhadap keganasan dan dasar luarnya. Akibat sekatan ekonomi antarabangsa tersebut, industri petroleum Libya menghadapi kesulitan untuk mendapat barang-ganti, kelengkapan baru, teknologi moden, teknik pengurusan dan pelaburan asing adalah amat diperlukan untuk mengekalkan dan menaiktaraf keupayaan pengeluaran petroleumnya.Pengurangan pendapatan dari petroleum yang besar telah merumitkan lagi masalah ekonomi negara ini disebabkan kejatuhan harga petroleum di pasaran dunia.Ini juga memberi tekanan yang besar ke atas kerajaan Libya agar melaksanakan perubahan yang asas pada dasar luarnya. Hujah keempat mengatakan bahawa Libya telah menandatangani beberapa perjanjian antarabangsa mengenai kawalan senjata sejak 1968. Antaranya, Perjanjian Pengawalan Senjata Pemusnah Massa (Non-Profileration Treaty) 1968, Protokol Geneva (Geneva Protocol) 1971, Perjanjian Konvensyen Senjata Biologi dan Toxic (Biological and Toxic Weapons Convention BTWC) 1982, Perjanjian Pelindaba (Treaty of Pelindaba) 1996 dan sebagainya. Perjanjian-perjanjian tersebut bermatlamat untuk mengawal penyelidikan, pembinaan, pengujian, pemilikan dan penggunaan senjata biologi, senjata kimia, senjata nuklear; mengekalkan taraf penjagaan yang tinggi ke atas bahan-bahan, kemudahan-kemudahan dan radas-radas nuklear serta menghalang pembuangan sisa-sisa radioaktif sewenang-wenangnya. Namun demikian, telah didapati Libya telah berikhtiar untuk membina keupayaan senjata nuklearnya. Ramai pakar senjata percaya bahawa Libya mempunyai program senjata biologi sungguhpun usahanya hanya pada tahap primitif. Libya juga dikatakan memiliki simpanan missile ballistic yang terdiri daripada Scud-B dari bekas Soviet Union, Scud-C dari Korea Utara dan program pengeluaran missile buatan tempatan yang dikenali sebagai Al Fatah. Sejak Qadhafi menerajui kerajaan Libya, program Al Fatah telah berterusan sepanjang tahun 1970-an untuk memperolehi dan membangunkan keupayaan missile jarak-pendek dan jarak-tengah melalui kerjasama dengan beberapa syarikat dari Jerman, China, Soviet Union dan Korea Utara. Di samping itu, disebabkan oleh paras perkembangan teknologi yang rendah, Libya terpaksa memberi tumpuan kepada sumber asing untuk membina keupayaan senjata nuklearnya. Sebaik sahaja Qadhafi menerajui kerajaan Libya, beliau telah cuba membeli, sungguhapun gagal, senjata nuklear dari China. Namun demikian, Soviet Union telah bersetuju untuk membekalkan reaktor nuklear kepada Libya. Malahan, Libya juga bekerjasama dengan Pakistan di mana Libya membantu Pakistan memperoleh uranium dari negara jirannya, Niger manakala Libya memperolehi teknologi, kelengkapan dan rekabentuk nuklear daripada ahli sains Pakistan Abd al-Qadir untuk membuat bom nuklear. Walau bagaimanapun, pada bulan Mac 2003, pegawai Libya telah tampil Britain mengenai niatnya untuk melucutkan Senjata Pemusnah Massanya. Satu siri rundingan telah diadakan antara Libya, Britain dan Amerika Syarikat pada bulan Oktober 2003. Libya sedia bekerjasama dengan pemeriksa-pemeriksa Amerika Syarikat, British dan pegawai-pegawai Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (International Atomic Energy Agency, IAEA) dengan membolehkan pemeriksaan kawasan-kawasan yang disyaki terlibat dalam aktiviti-aktiviti Senjata Pemusnah Massa, memastikan pegawai-pegawai kanan sentiasa sedia menolong dan mengambil tindakan pembetulan agar perjanjian Disember 2003 dengan Amerika Syarikat, Britain dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa dipatuhi. Hujah kelima Bahgat menekankan perubahan yang ketara dari segi hubungan Libya dengan negara-negara Barat, terutamanya Amerika Syarikat dan British. Hubungan antara mereka berubah dari keadaan yang mesra dan kerjasama kepada suasana dingin dan akhirnya kembali kesuasana kerjasama sekali lagi. Amerika Syarikat mempunyai hubungan yang baik dengan Libya semasa pemerintahan Raja Idris dari tahun 1950-an hingga 1960-an. Libya mendapat banyak manfaat dari bantuan asing Amerika Syarikat dan pengkalan udara Wheelus Field. Tetapi, selepas Qadhafi berkuasa, hubungan Libya dan Amerika Syarikat dalam tiga dekad itu telah bercirikan wasangka dan permusuhan kerana hubungan yang erat antara Libya dan Soviet Union, bantahan Qadhafi yang hebat terhadap penyelesaian konflik Arab-Israel secara aman, minat Amerika Syarikat untuk mendapat bekalan petroleum dari Libya, penglibatan Qadhafi dalam aktiviti-aktiviti keganasan antarabangsa dan percubaan beliau untuk mendapat dan membangunkan Senjata Pemusnah Massa. Libya telah menghakmiliknegarakan beberapa syarikat petroleum Amerika dan menggunakan petroleum sebagai senjata politik terhadap Amerika Syarikat. Di samping itu, Libya juga telah mendapat bekalan senjata dari Soviet Union dan mulai menyokong gerakan subversif terhadap negara-negara Arab yang konservatif. Permusuhan antara Amerika dan Libya semakin runcing apabila Amerika Syarikat membantah campur tangan Libya yang semakin banyak di Afrika. Konfrantasi ketenteraan dan diplomatik dan hubungan dua-hala yang semakin tegang pada amnya adalah disebabkan oleh penglibatan Libya dalam serangan keganasan terhadap sasaran Amerika Syarikat dan negara-negara Barat lain. Selain itu, Bahgat juga menghujahkan bahawa perubahan ideologi pemimpin Libya juga berperanan untuk mengubah dasar luar negara itu dan beralih dari keganasan. Sebelum sekatan ekonomi antarabangsa dikenakan ke atas Libya, Qadhafi selama ini mengamalkan sistem authoritarian dalam pemerintahan dan dasar luar yang agresif. Tetapi, cabaran dalaman dan luaran yang wujud akibat sekatan tersebut menyebabkan pemimpin itu mengaku perubahan yang asas mesti dilakukan supaya kerajaannya boleh berterusan. Selain itu, beberapa pegawai Libya, termasuk anak Qadhafi, Saif al-Islam, yang menerima pendidikan Barat telah dipertanggungjawabkan untuk mengubah imej negara itu di mata dunia. Saif al-Islam, sejak akhir tahun 1990-an, telah muncul sebagai tokoh utama dalam perubahan dasar luar Libya dan merupakan satu daya tolak kepada keputusan Libya untuk memutuskan hubungan Libya dengan keganasan antarabangsa dan menghapuskan program Senjata Pemusnah Massa. Libya telah mencari jalan untuk menceburkan diri ke dalam sistem global sekali lagi. Libya telah memainkan peranan yang penting dalam rundingan yang membawa kepada pembebasan orang tebusan oleh kumpulan Abu Sayyaf di Filipina pada tahun 2000. Libya sekali menunjukkan sikap yang positif kepada peperangan antarabangsa terhadap keganasan apabila pemimpin Libya turut mengecam serangan al-Qaeda atas Amerika Syarikat pada 11 September 2001. Malahan, perisikan Libya telah berkongsi maklumat-maklumat al-Qaeda dan pelampau-pelampau Islam dengan perisikan Barat. Qadhafi juga mengaku peranan Amerika Syarikat sebagai Kuasa Besar dan sedia mengubah pemusuhan kepada persahabatan tulen.

Pandangan Terhadap Hujah-Hujah Penulis

Memang benar hujah pertama penulis kerana dasar luar Libya amat dipengaruhi oleh kepercayaan, nilai-nilai dan kecenderungan pemimpinnya.Qadhafi telah menerima pendidikan Arab dan Islam yang sepenuhnya dan ini telah mempengaruhi fikiran dan ideologinya. Tambahan pula, belaiu sangat terpengaruh oleh Presiden Gamal Abd al-Nasser dari Mesir yang selalu berkonfrantasi dengan Israel dan Dunia Barat serta menyeru perpaduan Arab. Sumber-sumber idiosinkratik ini, seperti persepsi, nilai-nilai, ideologi telah memberi kesan kepada matlamat-matlamat dasar luar negara itu. Hasrat Qadhafi untuk membentuk satu Dunia Arab yang bersatu telah menjadi salah satu unsur dalam dasar luar negara itu. Matlamat ini adalah bersesuaian dengan matlamat jangka pertengahan, iaitu untuk meninggikan prestig negara itu dan meluaskan negara itu melalui lingkungan pengaruh. Dasar luarnya berorientasikan “memainkan peranan yang berpengaruh dalam politik antarabangsa”, iaitu cuba mengutarakan cadangan dan tindakan untuk menyelesaikan konflik-konflik Dunia Arab. Apabila negara-negara Arab tidak mengendahkan cadangan-cadangannya, Libya telah menggunakan alat dasar luar seperti aktiviti-aktiviti gelap atau kelandestin. Ini termasuk tindakan subversif, melatih orang-orang untuk membantah kerajaan dan memberi bantuan senjata kepada kumpulan anti-kerajaan. Selain itu, Libya. sebagai sebuah negara Arab, tidak akan mengalami kerugian yang besar dengan menggalakkan pemusuhan terhadap Israel. Jaraknya yang jauh dari pusat konflik Arab-Israel memberikannya tahap keselamatan yang tertentu dari kemungkinan serang balas dari Israel. Untuk mendominasikan Dunia Arab, Qadhafi menjadi penyokong yang kuat kepada orang-orang Palestine dan seteru yang ketat kepada negara Yahudi itu. Visinya untuk membentuk satu Timur Tengah yang didominasikan oleh Arab, bebas daripada expoloitasi imperialisme dan pengaruh Barat, tidak membenarkan wujudnya sebuah negara Yahudi di rantau itu. Satu nilai nasion Qadhafi lagi ialah konflik Arab-Israel boleh memberi peluang kepadanya untuk mencabar kepimpinan Mesir di Dunia Arab. Disebabkan kebimbangan Libya bahawa Israel memiliki senjata nuklear yang akan menggugat kestabilan dan keamanan Dunia Arab, beliau telah menggunakan pendapatan daripada eksport petroleum untuk membiayai projek senjata nuklear, kimia dan biologi. Ini bersesuaian dengan matlamat untuk memelihara nilai-nilai asas negara, iaitu kedaulatan dan keselamatan negara. Libya juga menjalinkan hubungan rapat dengan Soviet Union, Korea Utara, China dan Pakistan untuk mendapat bantuan senjata canggih, seperti missile dan teknologi senjata supaya negara itu dapat membangunkan keupayaan senjatanya.Sungguhpun Libya tidak membentuk perikatan militer dengan negara-negara tersebut, terdapat kerjasama persahabatan dan ketenteraan seperti penjualan senjata, pembinaan reaktor nuklear dan penjualan petroleum antara mereka.Tetapi, tahap pencapaian Libya dalam perkembangan senjata nuklear atau senjata pemusnah massa adalah terhad disebabkan oleh kekurangan teknologi dan kepakaran dalam bidang tersebut. Hujah ketiga menyatakan bahawa strategi campur tangan ketenteraan Libya di negara-negara jiran di Benua Afrika, seperti Chad, supaya matlamat dasar luarnya dapat dicapai. Tindakan Libya ini bermatlamat untuk menyokong Presiden Chad dan mempunyai hasrat untuk mengembangkan pengaruhnya ke selatan ke sub-Saharan Afrika. Kawasan ini dipercayai merupakan satu kawasan yang kaya dengan logam yang akan memafaatkan ekonomi Libya. Namun, kempen Libya di Chad telah dibuktikan sebagai gagal dan telah mengakibatkan kerugian besar dari segi sumber-sumber dan nyawa manusia. Oleh itu, setelah mempertimbangkan prioriti matlamat-matlamat untuk kestabilan negara dan kebajikan rakyat lebih penting daripada matlamat mengembangkan lingkungan pengaruh, memang betul pemimpin Libya memutuskan untuk menghentikan campurtangan di negara jirannya itu. Saya bersetuju dengan hujah kelima yang menyatakan bahawa suasana hubungan antarabangsa antara Libya dengan Dunia Barat selalu berubah-ubah. Libya mula bermusuh-musuhan dengan negara-negara Dunia Barat terutamanya Amerika Syarikat, kerana Qadhafi percaya negara-negara Barat yang selama ini mengeksploitasikan negara-negara Dunia Ketiga dan lebih-lebih lagi telah mendirikan sebuah negara Yahudi untuk memecahbelahkan Dunia Arab. Qadhafi telah menutup pengkalan-pengkalan tentera Amerika Syarikat dan Britain dan menghakmiliknegarakan faedah minyak petroleum dan perdagangan asing di Libya . Beliau juga memainkan peranan yang aktif dalam mendorong “embargo” petroleum sebagai alat politik untuk mencabar Dunia Barat, dengan harapan kenaikan harga petroleum dan embargo petroleum pada 1973 akan memujuk Dunia Barat, terutamanya Amerika Syarikat akan menghentikan sokongan kepada Israel. Tetapi, ia masih memerlukan sokongan dari satu Kuasa Besar untuk mendapat bantuan ekonomi dan ketenteraan. Libya mengambil kesempatan pada masa itu, iaitu semasa Amerika Syarikat dan Soviet Union dalam suasana Perang Dingin. Hubungan antara Libya dengan negara-negara Barat semakin tegang apabila didapati Libya sedang membangunkan projek Senjata Pemusnah Massa di mana Amerika Syarikat telah mengadakan sekatan ekonomi dan diplomatik ke atas Libya. Libya menghadapi kesulitan yang lebih besar lagi apabila sekatan ekonomi dan diplomatik antarabangsa dikenakan ke atasnya oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1992 akibat penglibatan Libya dalam keganasan serangan Pesawat Pan Am 103 dan pesawat UTA 772. Keadaan ekonomi negara ini menjadi lebih runcing lagi disebabkan keruntuhan Soviet Union pada akhir tahun 1980-an yang telah menyebabkan Libya kehilangan banyak sokongan dan bantuan darinya. Perubahan set sumber-sumber sistemik di arena politik antarabangsa itu memberi kesan ke atas proses mengubahsuai dan membentuk semula dasar luarnya. Sumber tukaran asing yang terhad selain daripada petroleum telah menghadkan kuasa tawar-menawar dalam penentangannya dengan negara-negara Barat. Akhirnya, dalam kurang daripada satu dekad selepas sekatan ekonomi dikenakan, Libya telah mula membuat perubahan dasar yang dramatik terhadap Dunia Barat. Libya menyerahkan mereka yang bertanggunjawab atas serangan pesawat-pesawat tersebut dan sasaran-sasaran lain kepada pihak yang berkenaan serta membayar pampasan kepada keluarga mangsa. Kehidupan rakyat Libya yang azab sengsara akibat sekatan ekonomi antarabangsa mungkin akan menimbulkan ketidakstabilan negara dan ini juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi kepimpinan Libya mengubah dasar luarnya. Dengan membenarkan pertubuhan antarabangsa memeriksa kemudahan-kemudahan senjata dan memusnahkan senjata-senjata itu, balasannya ialah sekatan ekonomi digantung pada tahun 2003. Hujah keenam menunjukkan generasi muda Libya yang menerima pendidikan Barat telah mula menjejak langkah ke dalam arena pemerintahannya dan mempunyai pengaruh ke atas polisi negara itu memang dipersetujui. Antara mereka termasuk anak Presiden Qadhafi, Saif al-Islam, telah muncul sebagai tokoh dasar luar Libya. Sekali lagi, faktor kekerajaan atau birokrasi telah berperanan untuk mengubahsuaikan dasar luar dan membentuk semula imej Libya di mata dunia. Saif al-Islam dikatakan menjadi pendorong utama kepada keputusan Libya untuk memutuskan pertalian Libya dengan kegiatan keganasan antarabangsa dan pelepasan program Senjata Pemusnah Massa. Sikapnya yang “moderate” dan pengalamannya akan memberi satu perubahan yang drastik pada dasar luar Libya. Perubahan ini telah “normalise” hubungan Libya dengan negara-negara Barat. Usaha perubahan dasar luar Libya telah berbuah apabila Jabatan Negara Amerika Syarikat, pada 15hb Mei 2006, mengisytiharkan bahawa Amerika Syarikat akan mengembalikan dengan sepenuhnya hubungan diplomatik dengan Libya jika Libya memusnahkan program Senjata Pemusnah Massanya. Amerika Syarikat juga mengeluarkan Libya daripada senarai hitam negara yang menyokong kegiatan keganasan antarabangsa yang Libya berada selama 27 tahun.

Kesimpulan

Pada kesimpulannya, adalah menjadi harapan dunia sejagat bahawa perang dunia, terutamanya perang nuklear, tidak akan berlaku lagi. Kemusnahan dan keazaban yang dikecapi oleh umat manusia mestilah diingati oleh pemimpin setiap negara di dunia. Kerugian dan kesusahan akibat pegeboman Hirohsima dan Nagasaki oleh dua bom atom mesti selalu menjadi ajaran kepada kita. Senjata pada awalnya bermatlamat untuk mempertahankan diri tetapi sekarang ia telah dimajukan sehingga boleh memusnahkan seluruh dunia. Berbanding dengan negara-negara jiran, Libya menikmati kadar kemiskinan yang sangat rendah secara relatif. Dengan pelaksanaan reformasi ekonomi yang dijalankan serta setelah sekatan ekonomi antarabangsa digantung sepenuhnya dari Libya pada 2003, Libya akan lebih berintegrasi ke dalam ekonomi kapitalis global. Pemimpin-pemimpin lain hendaklah menganggap pengisytiharan Libya sebagai satu contoh yang membina. Kemajuan Libya yang tulen untuk menghapuskan Senjata Pemusnah Massanya akan diikuti oleh pembaikan hubungannya dengan komuniti dunia. Dengan Libya menjadi sebuah negara yang lebih aman, ia boleh menjadi sumber kestabilan di Afrika dan Timur Tengah.

Bibliografi

Background Note: Libya, October 2007. Beureau of Near Eastern Affairs. U.S. Department of State. www.state.gov/r/pa/ei/bgn/5425.htm> ;

Gawdat Bahgat, “Proliferation of Weapons of Mass Destruction : The Case of Libya”. International Relations 2008. Sage Publications Jacob Abadi, “Pragmatism and Rhetoric in Libya's Policy Toward Israel” , The Journal of Conflict Studies, Volume XX Number 1 Fall 2000. UNB <http://www.lib.unb.ca/Texts/JCS/bin/get7.cgi?d... ;

Khaw Guat Hoon. 2007, Modul JKP212 Hubungan Antarabangsa, Pusat Pengajian Pendidikan Jauh, USM, Pulau Pinang. Libya, Online 1 October 2008. Wikipedia, the free encyclopedia. Wikimedia Foundation Inc. http://en.wikipedia.org/wiki/Libya

Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear, Online13 September 2008. Wikipedia, the free encyclopedia. Wikimedia Foundation Inc. Sammy Salama and Elizabeth Salch, April 2006. Weapons of Mass Destruction in the Middle East, Center for Nonproliferation Studies, Monterey Institute of International Studies <http://cns.miis .edu/research/wmdme/libya.htm>

The President's National Security Strategy to Combat WMD: Libya's Announcement. Bureau of Public Affairs. U.S. Department of State. <http://www.state.gov/p/nea/rls/27462.htm>;

No comments:

Post a Comment