Friday, September 17, 2010

BAB 2 SEJARAH TOKONG

2.1 Pengenalan

Semasa kaum Cina berhijrah ke mana-mana tempat di Asia Tenggara dari negeri China, mereka akan membawa bersama-sama dewa-dewi yang disembahyangkan. Suku-suku dialek kaum Cina memuja dewa-dewi yang berlainan. Di Kangkar Tebrau, masih wujud beberapa buah rumah berhala kaum Cina yang bersejarah. Antaranya ialah Tokong Ling San Keng, Tokong Tian Hou Gong dan Tokong Tian Chun Gong. Ling San Keng adalah diasaskan oleh masyarakat Teowchew, Tian Hou Gong dipuja oleh masyarakat Hokkien manakala Tian Chun Gong oleh masyarakat Hakka. Rumah-rumah berhala tersebut dibina untuk meminta rahmat dewa-dewi supaya penghijrah-penghijrah dapat hidup dalam keadaan yang aman damai di tempat yang baharu itu.

Tokong Ling San Keng merupakan salah satu sebuah rumah berhala Cina yang paling awal di Johor Bahru. Ia juga merupakan sebuah tokong “Xuan Tian Shang Di” yang mempunyai sejarah yang paling awal di Johor Bahru. Di seluruh negeri Johor, terdapat banyak tokong yang memuja dewa “Xuan Tian Shang Di”.

2.2 Kedudukan Tokong Ling San Keng

Tokong Ling San Keng terletak di Kangkar Tebrau dan berada lebih kurang 6 batu dari pusat bandar Bandaraya Johor Bahru. Sekarang, Kangkar Tebrau adalah termasuk di dalam daerah Pandan. Jika seseorang ingin pergi ke Tokong Ling San Keng dari pusat bandar Johor Bahru dengan laluan darat, ia boleh mengikuti Lebuhraya Tebrau dan Jalan Pandan sejauh lebih kurang 5 batu dan kemudian membelok ke kiri ke dalam Jalan Kangkar Tebrau. Selepas berjalan sejauh lebih kurang 1 batu dan melintasi Jambatan Tebrau, akan kelihatan Klinik Kesihatan Kangkar Tebrau di sebelah kanan dan beberapa buah papan tanda dalam Bahasa Mandarin yang berbunyi “Tapak Kuno Kangkar Tebrau”, “Rumah Berhala Ling San Keng” dan “Xuan Tian Shang Di - Rumah Berhala Ling San Keng Kangkar Tebrau”. (Gambar 2A) Bahagian tepi bangunan Ling San Keng akan kelihatan. Selepas berjalan ke hadapan lebih kurang 100 m lagi dan sebelum tiba sebuah jambatan batu yang menyeberangi Sungai Tebrau, akan dijumpai sebatang jalan kecil di sebelah kanan dan membentuk satu simpang tiga dengan Jalan Kangkar Tebrau. Jalan kecil tersebut dikenali sebagai Jalan Kangkar Kechil. (Peta 4)

Di kedua-dua belah Jalan Kangkar Kechil, terdapat dua deret rumah kedai yang lama dan buruk. Gerbang utama Tokong Ling San Keng adalah berhadapan dengan Jalan Kangkar Kechil itu. Mengikut penghuni-penghuni di sana, dalam tahun 1960-an hingga 1970-an, terdapat lebih kurang 20 buah rumah kedai di Kangkar Tebrau di sepanjang Jalan Kangkar Tebrau dan Jalan Kangkar Kecil. Walau bagaimanapun, pada masa sekarang, kebanyakan rumah kedai tersebut tinggal kekosongan dan tidak didiami oleh penghuni lagi kecuali hanya beberapa buah rumah kedai yang masih mempunyai operasi perniagaan dan rumah kediaman yang didiami oleh lebih kurang 12 buah keluarga. Mereka termasuk bengkel motosikal Xing, Restoran M&M, Kejuruteraan Hup Soon dan dua buah kedai runcit, iaitu Kedai Runcit Kie Chiang dan Chop Song Thye. (Gambar 3 & 4). Terdapat juga beberapa buah rumah kedai yang didiami oleh penghuni walaupun perniagaan tidak dijalankan di tingkat bawah kedai-kedai tersebut. Di sepanjang Jalan Kangkar Tebrau, masih tinggal beberapa rumah kedai lama yang pernah dibaikpulih dan masih menjalankan urusniaga, seperti Kejuruteraan Besi Leong Lee dan sebagainya.

Sekiranya pelawat-pelawat ingin mengunjungi Tokong Ling San Keng, mereka boleh mengambil bas No.42 dari Terminal Bas Larkin, Johor.

Sekiranya seseorang ingin mengambil jalan laut untuk sampai ke Kangkar Tebrau, dia terpaksa menaiki bot dari Stulang Laut dan belayar sepanjang Sungai Stulang sehingga memasuki Sungai Tebrau. Selepas melalui Jambatan Pandan, dia terus belayar ke arah hulu. Tidak lama kemudian, dia akan tiba di Kangkar Tebrau. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang datang ke situ dengan menggunakan kenderaan darat kerana pengangkutan laut tidak disediakan.

2.3 Sejarah dan Perkembangan Tokong Ling San Keng
Adalah dipercayai bahawa Rumah Berhala Ling San Keng merupakan rumah berhala kaum Cina yang pertama di Johor Bahru kerana Kangkar Tebrau (1844) telah dipelopori sebelum Johor Bahru didirikan pada (1855). Sejarahnya adalah sekurang-kurangnya lebih daripada 150 tahun, lebih lama daripada Gu Miow Johor Bahru (Tokong Kuno Johor Bahru) yang terletak di Jalan Trus, Johor Bahru meskipun Gu Miow adalah lebih terkenal daripada Ling San Keng.

Tokong Ling San Keng mempunyai sejarah yang sama lama seperti sejarah Kangkar Tebrau. Adalah dipercayai bahawa Ling San Keng didirikan oleh seorang pendatang China yang bernama Tan Kee Soon atau Chen Kai Shun [陳開順]. Pada tahun 1844, semasa Chen Kai Shun membawa masuk buruh-buruh China dari Singapura untuk menetap di Kangkar Tebrau, beliau telah membina tokong Ling San Keng bersama-sama penghijrah-penghijrah China tersebut. Sejak masa itu, tokong tersebut telah dibaikpulih sebanyak tiga kali. Kali pertama adalah pada tahun 1874, kali yang kedua pada tahun 1911 dan kali yang terakhir adalah pada 1969. Peruntukan telah diberikan oleh bekas Menteri Besar negeri Johor, Dato Haji Othman Bin Haji Mohd Saat (Gambar 5), untuk membiayai perbelanjaan untuk kerja baikpulih pada kali ketiga. Upacara pembukaan telah dirasmikan oleh Dato’ Chua Song Lim (Gambar 6) pada 21hb. November 1969. Satu papan tanda telah digantung pada dinding di tepi pintu depan tokong ini. (Gambar 7) Papan tanda tersebut mencatatkan yang berikut :
LING SAN KENG
RUMAH BERHALA CHINA KANGKAR TEBRAU
RASMI DI-ATAS OLEH
Y.A.B. DATO MENTERI BESAR JOHOR
DATO HAJI OTHMAN BIN HJ. MOHD. SA’AT (D.A.II S.P.M.J.P.I.S)
PADA JAM 2.30 21 NOVEMBER 1969

2.4 Latar Belakang Kapitan Tan Kee Soon, Pengasas Tokong Ling San Keng

Chen Kai Shun ialah seorang pendatang China keturunan Teowchew. Beliau dilahirkan di Kampung Nanguidu Dongfeng, Daerah Hai Yang Hai, Wilayah Kwangdong pada tahun 14-11-1803. Tahun itu ialah tahun ke-8 pemerintahan Maharaja Jiaqing zaman pemerintahan Dinasti Qing (Manchu). Kampung beliau mempunyai rekod sejarah yang panjang dan dahulu juga dikenali sebagai “Taman Bawang” disebabkan tempat ini terkenal dengan tanaman bawang dan pemeliharaan itik.

Selepas kejatuhan Dinasti Ming, kempen anti pemerintahan Manchu untuk memulihkan pemerintahan Ming tidak pernah berhenti kerana kaum Manchu dianggap sebagai orang asing pada masa itu. Mereka membentuk pertubuhan-pertubuhan penentang kerajaan Manchu dan antaranya yang paling terkenal ialah Pertubuhan “Tian Di Hui” (Heaven and Earth Society, 天地会). Pertubuhan Tian Di Hui juga dikenali sebagai “Hong Meng” (洪门)atau Kongsi Ngee Heng (义兴公司). Chen Kai Shun adalah terlibat dalam kegiatan anti pemerintahan Dinasti Qing.

Pada tahun 1844 (tahun ke-24 pemerintahan Maharaja Daoguang), tercetus pemberontakan yang besar-besaran di Chaoyang, Hai Yang, Jieyang dan tempat-tempat lain. Pemberontakan tersebut telah berjaya dibenteraskan oleh kerajaan Manchu dan ramai pembenrontak sama ada telah ditangkap atau dibunuh manakala yang bakinya telah melarikan diri ke Singapura. Chen Kai Shun telah dipercayai telah datang ke Singapura bersama-sama ahli-ahli lain pada masa itu. Selepas tiba di Singapura, beliau telah menjadi salah seorang ketua Kongsi Ngee Heng di situ.

Pada masa itu, negeri Johor adalah di bawah pemerintahan Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim (8 Disember 1810 - 31 Januari 1862) dan Johor masih mempunyai kawasan hutan yang terbentang luas dan belum pernah diterokai. Justeru itu, baginda telah memperkenalkan sistem “Kangcu” untuk menggalakkan masyarakat China berhijrah dari Singapura ke Johor. Mengikut pengkaji sejarah tempatan Wu Hwa, Chen Kai Shun menyahut seruan baginda dan membawa lebih kurang 4000 orang buruh China, yang terdiri daripada ahli-ahli kongsi gelap Ngee Heng, masuk ke Johor. Mereka menaiki bot di Augang, Singapura dan sampai ke muara Stulang Laut, kemudian belayar sepanjang Sungai Tebrau sehingga Kangkar Tebrau. Pada masa itu, tongkang merupakan kenderaan yang utama. Muara Stulang Laut telah menjadi pintu masuk orang China ke Johor Bahru. Sungguhpun sebahagian besar buruh tersebut terdiri daripada keturunan Teochew, tidak kurang juga mereka daripada keturunan lain, seperti Hainan.

Pada 22 hb Oktober 1844, satu Surat Sungai telah dikeluarkan oleh Temenggung Ibrahim kepada Chen Kai Shun supaya beliau boleh menerokai tanah-tanah serta menanam gambir dan lada hitam secara komersial di Kangkar Tebrau. Pada masa itu, kawasan itu dikenali sebagai Chen Cuo Gang oleh masyarakat China . Surat Sungai Kangkar Tebrau merupakan Surat Sungai yang kedua dikeluarkan oleh kerajaan Johor selepas surat pertama yang diberikan kepada seorang pekebun China Lau Lib Keng di Sungai Skudai. Selain menjadi “Kangcu” (yang bermakna “Tuan Sungai”) atau ketua petempatan Cina di Kangkar Tebrau yang bertanggunjawab untuk memajukan kawasan tersebut serta membayar cukai kepada kerajaan Johor. , beliau juga dilantik oleh Temenggung Ibrahim sebagai Kapitan Cina. Beliau merupakan orang Cina yang pertama mendapat anugerah Kapitan Cina. Di bawah usaha dan pimpinan beliau, Kangkar Tebrau telah menjadi sebuah kawasan yang makmur. Kangkar Tebrau pada masa itu merupakan sebuah kawasan makmur dan terdapat kedai-kedai, rumah pelacur, kedai judi dan kedai candu di situ. Bilangan penduduk pernah mencapai tahap yang tertinggi sehingga lebih kurang 5000 orang. Dari 1844 hingga 1855, Kangkar Tebrau merupakan pusat pentadbiran kerajaan tempatan negeri Johor. Dari 1844 hingga 1860, gambir di tanam di situ dan kemudian ditukarkan kepada penanaman getah. Selepas itu, beliau mula mengembangkan penerokaan ke Tanjung Putri (sekarang Johor Bahru) dan menyambut kerajaan Johor untuk mendirikan pusat pentadbiran di situ.

Beliau juga menolong Sultan Johor untuk menghapuskan pemberontakan di Muar dan menerima penghargaan yang tinggi dari baginda. Beliau juga dilantik untuk menguruskan hal ehwal keselamatan di daerah-daerah tempatan di Johor. Chen Kai Shun meninggal dunia pada tahun 1857 dan dikembumikan di Kangkar Tebrau. Tetapi, akibat arus perkembangan dan kemajuan, kawasan perkuburan tersebut tidak wujud lagi dan sekarang telah dimajukan menjadi kawasan perumahan.

Selepas kematian Chen Kai Shun, anak angkatnya Tan Cheng Hung telah mengambilalih tempatnya sebagai Kangcu Kangkar Tebrau kerana adalah dipercayai Chen Kai Shun tidak mempunyai anak kandung.Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian, Tan Cheng Hung telah menjual kuasa pentadbiran Sungai Tebrau kepada Bendahara Johor Jaffar Haji Mohamed , iaitu menteri besar pertama negeri Johor dan juga datuk bekas Perdana Menteri kedua Malaysia Allahyaham Tun Hussein Onn.

Sempena perayaan Pesta Tanglung atau Kuih Bulan (Mooncake Festival) pada tahun 1999, masyarakat Johor Bahru telah menyambut ulangtahun ke-155 pembukaan Kangkar Tebrau di Tokong Ling San Keng. Ini adalah bertujuan untuk mengingati dan memuji secara terbuka dan besar-besaran jasa bakti Chen Kai Shun pada tahun-tahun itu.

2.5 Tujuan Pembinaan Tokong

Dalam setiap penempatan, pekan, kampung atau bandar kaum Cina, lazimnya terdapat sekurang-kurangnya sebuah tokong kommunal. Berbeza daripada tokong-tokong yang dimiliki oleh “spirit-medium”, tokong kommunal ialah tokong yang dikunjungi oleh semua penganut-penganut Cina dalam sesebuah komuniti atau penganut-penganut dari kumpulan dialek tertentu. Ia adalah kerana sesebuah tokong juga mewakili kumpulan dialek berlainan dalam sebuah komuniti Cina tempatan.

Tokong merupakan bangunan agama yang penting dalam kehidupan masyarakat Cina. Pendatang-pendatang Cina berhijrah beramai-ramai dari Negeri China, terutamanya Wilayah Kwangdong dan Fujian, membawa bersama-sama nilai kepercayaan dan kebudayaan mereka ke Asia Tenggara. Selepas menyeberangi Laut Cina Selatan dan tiba di Tanah Melayu dengan selamat, sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan dan dewa-dewa, mereka pun mendirikan tokong untuk memuja Tuhan dan dewa-dewa. Ada mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan setelah menetap di Tanah Melayu juga giat melibatkan diri dalam pembinaan tokong atau rumah ibadat. Pada masa Kapitan Chen Kai Shun meneroka kawasan Kangkar Tebrau, kawasan tersebut diliputi oleh hutan rimba. Keselamatan dan kesihatan pendatang-pendatang diancam oleh binatang-binatang buas dan berbagai jenis penyakit. Oleh itu, tokong Ling San Keng didirikan juga bertujuan untuk meminta dewa-dewa merestui kehidupan, keselamatan dan kesihatan mereka di petempatan yang baru itu.

Pada mulanya, hanya suku dialek tertentu, iaitu Teochew, yang dibawa oleh Kapitan Chen Kai Shun ke Kangkar Tebrau. Selepas itu, orang-orang Cina dari suku dialek yang lain, seperti seperti Hainan, Kantonis, Hakka dan Hokkien, juga ikut serta datang ke Kangkar Tebrau. Disebabkan penduduk-penduduk tersebut terdiri daripada suku-suku dialek yang berlainan, perselisihan antara kumpulan tidak dapat dielakkan. Jadi, Salah satu matlamat Tokong Ling San Keng dibina adalah untuk menyelesaikan masalah-masalah dan persengketaan-presengketaan antara mereka. Inilah sebabnya terdapat beberapa dewa yang berlainan disembahyangkan di tokong ini. Dewa-dewa tertentu dipuja oleh suku-suku dialek tertentu. Umpamanya, dewa Xuan Tian Shang Di di puja oleh kumpulan Teochew, Zhao Da Yuan Shuai dipuja oleh kumpulan Hainan dan Huang Guan Da Di oleh kumpulan Kantonis. Apabila perselisihan timbul, ketua-ketua dari kumpulan-kumpulan yang terlibat akan berkumpul dan bertemu di tokong untuk membincangkan penyelesaian. Jadi, boleh dikatakan bahawa Tokong Ling San Keng juga memainkan peranan untuk menyatukan kaum Cina dari kumpulan-kumpulan dialek yang berlainan.


2.6 Struktur Binaan dan Pelan Tokong

Kawasan Tokong Ling San Keng tidak besar. Tokong Ling San Keng mempunyai keluasan lebih kurang 3800 kaki persegi. Secara amnya, tokong ini terdiri daripada 3 buah bangunan, iaitu gerbang pintu utama, bangunan tokong dan cerobong membakar wang kertas neraka (Joss Paper). (Pelan 1) Tokong itu dibuat daripada kayu, simen dan batu-bata. Dari Jalan Kangkar Tebrau Kecil, didapati ketinggian kawasan tokong adalah berbeza-beza. Kawasan tokong boleh dibahagikan kepada 2 bahagian: bahagian pertama terdiri daripada sebuah podium yang lebih tinggi dari permukaan jalan, diikuti oleh sebuah podium lagi, yang merupakan pavilion pemujaan (Prayer Pavilion), yang lebih tinggi lagi daripada podium pertama. Sebuah tangga simen dibina di antara kedua-dua podium tersebut. (Gambar 8) Ketinggian kawasan tokong itu berbeza-beza kerana ia dibina mengikut kontor tanah. Tambahan pula, ia terletak di sebuah kawasan banjir dan di tepi Sungai Tebrau. Beberapa banjir kilat dan serius pernah berlaku di Kangkar Tebrau dan air telah naik sehingga bahagian Pavilion Pemujaan. Nasib baik, bangunan utama tokong tersebut tidak pernah ditenggelami oleh air sungguhpun rumah-rumah kedai lama di sepanjang Jalan Kangkar Tebrau Kecil dan kampung-kampung berdekatan (Kampung Kangkar Tebrau) yang berdekatan dan di sekeliling Sungai Tebrau telah dimusnahkan oleh air banjir. Maka, penduduk-penduduk tempatan yakin bahawa dewa-dewi dalam tokong tersebut mempunyai kuasa mistri untuk mempertahankan dan melindungi sesuatu. Dalam kejadian banjir pada 12-01-2007, air naik setinggi 10 meter dan memasuki bangunan utama tokong. Tetapi, nasib baik jawatankuasa tokong telah membuat persiapan awal untuk memindahkan patung-patung dewa dan kelengkapan lain. (Lampiran 4 )








Nama ”Ling San Keng” dalam bahasa Mandarin (靈山宮) ditulis dengan cat emas pada ambang gerbang utama. (Gambar 9) Dua rangkap puisi diukir pada dua batang tiang tegak di sebelah kanan dan kiri. (灵神伏威显而保万姓,山岳司震赫果佑四方) Dua perkataan pertama pada rangkap-rangkap itu, apabila digabungkan bersama-sama, membentuk nama tokong itu, iaitu Ling San. Kedua-dua rangkap tersebut bermakna “Dewa yang berkuasa memerintah setiap pelusuk dunia dan berupaya menjaga keselamatan rakyat jelata”. Bahagian-bahagian tertentu gerbang itu dicat dengan cat merah. Dalam kepercayaan kaum Cina, warna merah, terutamanya digunakan secara meluas dalam perhiasan tokong Cina kerana ia melambangkan “matahari” dan prinsip “Yang” (male Yang principle), “kegembiraan”, “kemakmuran”, “kemeriahan” dan “tuah”.

Di bahagian atas gerbang utama, kelihatan ukiran-ukiran seperti bentuk api dan matahari.(Gambar 9) Ukiran matahari bermakna sinaran matahari menyinar semua benda di dunia dan menjadikan mereka lebih bertenaga. Ukiran api menggambarkan kegiatan-kegiatan tokong itu akan semakin maju seperti api yang bersemarak. Begitu juga kehidupan penduduk-penduduk di kawasan tersebut.












Di hadapan gerbang utama, ternampak dua batang tiang rendah dengan ukiran batu seekor singa di setiap hujungnya. (Gambar 10) Dalam tradisi Cina, biasanya singa dianggap sebagai binatang yang tuah. Ia merupakan penjaga yang suci. Ukiran singa biasanya wujud sebagai kembar. Seekor ialah singa jantan manakala yang seekor lagi ialah singa betina. Mereka melambangkan keseimbangan masyarakat dan keutuhan institusi kekeluargaan. Ukiran singa jantan adalah di sebelah kanan dan diukir dengna motif duit sementara ukiran singa betina adalah di sebelah kiri dan diukir dengan seekor anak singa. Kedua-dua ukiran ini menunjukkan sistem kekeluargaaan masyarakat Cina di mana pihak lelaki bertanggunjawab diberi tangggungjawab untuk menguruskan keluarga.

Di podium kedua yang merupakan Pavilion Pemujaan, terdapat sebuah bekas colok yang dibuat daripada simen diletakkan di atas sebuah meja logam. Tempat ini adalah tempat sembahyang kepada Maharaja Jed (Jade Emperor). (Gambar 11) Bekas colok tersebut diukir dengan perkataan-perkataan Mandarin “玉皇大帝” dan “壬午年元宵佳節” padanya. Ia ialah sumbangan penganut pada Chap Goh Mei 2002.

Di hadapan pintu depan bangunan utama tokong, terdapat sebuah lagi gerbang kecil. Nama tokong sekali lagi dalam cat emas diukir pada bahagian atas gerbang tersebut. (Gambar 12)

Di ambang pintu bangunan utama tokong tertulis nama dewa utama, iaitu “Xuen Tian Shang Di” (玄天上帝) manakala di kedua-dua belah pintu, terdapat dua rangkap puisi, iaitu ” 玄天护万德” dan “上帝降百祥”. (Gambar 13 & 14) Dua patah perkataan pertama dalam kedua-dua rangkap tersebut sekiranya digabungkan ialah nama dewa utama yang disembahyangkan di tokong itu. Erti kedua-dua rangkap tersebut ialah Xuan Tian Shang Di, menjaga dan memelihara ketenteraman serta membawa nasib baik kepada penduduk-penduduk.

Pintu masuk bangunan utama terdiri daripada dua buah pintu kayu yang mempunyai dua lukisan Dewa Pintu (Door God /門神) pada setiap satu. (Gambar 15) Di tokong-tokong Cina dan kadangkala di rumah-rumah kuno keturunan Cina, dapat dijumpai lukisan dewa-dewa pintu pada kedua-dua pintu hadapan tokong atau rumah. Tujuan utama lukisan-lukisan itu ialah untuk menghalang pelesit-pelesit (evil spirits) daripada memasuki bangunan tersebut. Dewa biasanya terdiri daripada pasangan, seorang pada setiap belah pintu. Dewa-dewa pintu biasanya merupakan dua orang jeneral yang gagah berani pada zaman Dinasti Tang. Mereka bernama Qin Shubao (秦叔宝) dan Yuchi Gong (尉迟恭). Maharaja Tang Taizong (Maharajah kedua Dinasti Tang). Lagenda Cina mengatakan bahawa pada suatu masa, Maharaja Tang Taizong telah diganggu oleh pelesit-pelesit dan kedua-dua jeneral tersebut telah diarah untuk menjaga di pintu istana setiap malam supaya maharaja dapat tidur nyenyak. Maharaja Tang Taizong bimbang kedua-dua jeneral terlalu penat lalu mengarahkan pelukis melukis gambar mereka untuk dilekat pada pintu istana. Sejak masa itu, pelesit-pelesit tidak mengganggu maharaja lagi. Oleh itu, rakyat biasa juga mengikut jejak langkah untuk melekat atau melukis gambar kedua-dua jeneral itu di pintu besar rumah untuk menghalau segala yang tidak diingini dari memasuki rumah.

Di tokong Cina, biasanya altar dan patung dewa utama ditempatkan di tengah-tengah ruang pemujaan. Bagi Tokong Ling San Keng, oleh sebab Xuen Tian Shang Di ialah dewa utama tokong tersebut, altarnya ditempatkan di tengah-tengah ruang pemujaan. Bagi dewa-dewa lain, seperti Zhao Da Yuan Shuai dan Hua Guang Da Di, patung-patung mereka ditempatkan di kedua-dua belah patung Xuan Tian Shang Di di altar yang sama. Altar-altar untuk dewa-dewa Fu De Bo Gong dan San Zhong Sheng Wang, masing-masing terletak di kanan dan kiri altar dewa utama. Terdapat sebuah meja pemujaan di hadapan setiap altar di mana bekas colok disediakan di atasnya.

Bekas colok di atas meja pemujaan Xuan Tian Shang Di dibuat daripada logam dan diukir padanya perkataan-perkataan Mandarin (庚戌年六月初二日) mengenai tahun ia diperbuat, iaitu 1910. (Gambar 16) Di tepinya ialah sebuah item yang berbentuk seperti bunga teratai yang digunakan untuk menyalakan api. (Gambar 17) Ia digunakan untuk menyalakan colok. Bentuk bunga teratai adalah biasa kelihatan di tokong-tokong Cina kerana ia melambangkan kebersihan dan kesucian. Perkataan teratai berbunyi “Lian” dalam bahasa Cina yang bermaksud “berterusan”. Ia sentiasa digunakan dalam corak tradisional dengan harapan yang baik.


Di atas bumbung bangunan utama tokong, terdapat ukiran dua ekor naga yang menghadapi sebiji mutiara. Mutiara, juga dikenali sebagai mutiara syurga, merupakan simbol matahari dan daya “Yang” (阳) atau tenaga. (Gambar 18) Naga-naga pula adalah lambang kekuatan, keadilan dan kekuasaan. Di hadapan ukiran-ukiran itu, terdapat dua bulatan yang masing-masing mewakili bulan dan matahari. Item yang berbentuk bulatan itu mewakili bulan manakala bulatan dengan symbol “Yin-Yang” di tengah-tengahnya melambangkan matahari. Kedua-dua motif (motives) tersebut berhubung kait dengan konsep “Yin-Yang” dalam kepercayaan Taoism. Bulan melambangkan “Yin” manakala matahari melambangkan “Yang” dan Taoism sangat menekankan keseimbangan dalam kehidupan harian. Dalam Taoism, konsep “Yin-Yang” sangat diutamakan dan dipercayai bahawa Tao ialah keseluruhan muktamad yang menentukan alam semesta dan “yin” dan “yang” ialah dua bahagian separuh yang bertentangan bagi keseluruhannya. “Ying” dan “yang” merupakan dua daya kembar yang berlawanan yang berjuang untuk keagungan. “Yin” dan “Yang” mempunyai ciri-ciri yang berlawanan. Umpamanya, “yin” dianggap sebagai sejuk, gelap dan perempuan manakala “yang” pula dianggap sebagai panas, terang dan lelaki. Kedua-dua daya “yin” dan “yang” mendominasikan kewujudan semua item dan dari perjuangan dinamik dan berkekalan, mereka menghasilkan syurga, bumi dan kemanusiaan. Syurga adalah “yang” manakala bumi ialah “yin” dan interaksi mereka memberikan kuasa yang menghidupkan semua hidupan. “Yin” dan “yang” mempunyai ciri-ciri yang sentiasa berubah-ubah dan ini bermakna sesuatu tidak menguasai (predominate) yang satu lagi. “Yin” dan “yang” juga mempunyai manifestasi fizikal yang mempengaruhi semua aspek kehidupan, daripada penyakit hingga ke kejadian politik.

Dua tingkap pada bangunan utama tokong juga mempunyai rekabentuk “trigram” (八卦atau “Ba gua dalam bahasa Mandarin) dengan symbol “yin-yang” di tengah-tengah. (Gambar 19) Trigram ialah lapan gambarajah yang digunakan dalam kosmologi Taoism untuk melambangkan prinsip kebenaran asas dan digambarkan sebagai satu siri lapan konsep yang berhubung kait. Setiap satu terdiri daripada tiga garis, samada “putus-putus” atau “tidak putus”, mewakili satu garis “yin” atau satu garis “yang” masing-masing. Trigram mempunyai kaitan dengan astronomi, astrologi, geografi, geomansi, anatomi, keluarga dan sebagainya.

Di satu sudut di sebelah kiri pavilion pemujaan, terletak sebuah cerobong (furnace/incinerator) yang berbentuk “pagoda” (Gambar 20). Bangunan ini sebenarnya ialah sebuah cerobong untuk penganut-penganut membakar wang kertas neraka (joss paper) kepada dewa-dewa. Mengikut kepercayaan kaum Cina yang beragama Taosim, wang kertas neraka itu dikatakan bertujuan digunakan oleh dewa-dewa dan nenek moyang yang meninggal supaya mereka dapat memperoleh apa-apa yang diperlukan selepas meninggal (afterlife). Bahagian atas cerobong di Tokong Ling San Keng berbentuk sebuah labu (calabash / bottle gourd 葫芦) kerana dipercayai bahawa buah labu boleh menghalau hantu-hantu atau pelesit-pelesit dari sesebuah bangunan. Labu, dalam Taoism, juga merupakan satu lambang Xian (immortal). Di samping itu, struktur cerobong yang berbentuk “pagoda” yang tinggi juga membolehkan asap dapat keluar dengan lebih lancar dan tidak mencemarkan udara yang berdekatan dengan lantai dan menyebabkan sesak nafas semasa pembakaran wang kertas neraka. Demikian juga biasanya terdapat dua atau tiga lubang di bahagian bawah cerobong supaya terdapat oksigen yang cukup untuk menjamin pembakaran wang kertas neraka yang sempurna.

Di sebelah kiri bangunan utama tokong, terdapat sebuah kolam dan sebuah sangkar yang terletak bersebelahan. Dua ekor kura-kura, seekor besar dan seekor kecil, dipelihara di dalam kolam itu. (Gambar 21) Mengikut penjaga tokong itu, Encik Kan Swee On (Gambar 22), kura-kura yang besar itu telah dipelihara di situ sejak banyak tahun dahulu. Di sangkar yang bersebelahan, dahulu dipelihara seekor ular. Tetapi, sejak beberapa tahun dahulu, ular itu telah dilepaskan oleh pihak jawatankuasa pengurusan tokong kerana ular tersebut tidak mahu makan makanan yang dibekalkan. Kura-kura dan ular dipelihara di tokong itu disebabkan oleh lagenda mengenai asal usul dewa utama tokong itu, iaitu Xuan Tian Shang Di. Mengikut lagenda, pada zaman dahulu, terdapat seekor pelesit kura-kura dan seekor pelesit ular yang mengancam kehidupan manusia dan Xuan Tian Shang Di telah berjaya menawan mereka. Jadi, dalam gambarajah Xuan Tian Shang Di, biasanya digambarkan seekor ular dijejak oleh kaki kanan dan seekor kura-kura dijejak oleh kaki kiri Xuan Tian Shang Di.

Di satu sudut di sebelah kanan pavilion pemujaan, terdapat sebuah perigi yang lama. (Gambar 23) Mengikut seorang penduduk tua tempatan, Encik Fong Gui Qin (冯贵勤) (Gambar 24),pada masa Kangkar Tebrau diteroka, bekalan air dan eletrik belum ada. Kehidupan penduduk-penduduk (berjumlah lebih kurang 5000 orang) di situ sangat bergantung kepada air perigi. Air yang diperoleh dari perigi-perigi, melainkan perigi lama tersebut, yang digali di Kangkar Tebrau tidak sesuai diminum disebabkan air dari perigi-perigi itu dicemari oleh minyak. Ini merupakan satu perkara yang aneh kepada penduduk-penduduk pada masa itu. Oleh itu, sungguhpun penduduk-penduduk tempatan tidak lagi memerlukan sumber air perigi pada masa sekarang, tetapi perigi tersebut masih dikekalkan. Perigi itu telah ditutup dengan batang besi demi keselamatan.

2.7 Peninggalan-Peninggalan Bersejarah di Ling San Keng

Sungguhpun tokong tersebut mempunyai sejarah yang panjang, tetapi besar kemungkinan disebabkan kerja membaikpulih yang sering dijalankan, bilangan barang-barang peninggalan yang mempunyai nilai sejarah adalah terhad. Antara barang-barang peninggalan yang masih ada di dalam tokong itu terdiri daripada dua keping papan tanda yang tertulis “Xuan Tian Shang Di” (玄天上帝) dan “ 帝德扶持,同治甲戌年桂月吉立, 沐恩治子洪和文喜敬” (1874) , (Gambar 25), sebuah “Gu Qing” (古罄) (Gambar 26), sebatang tiang melintang yang terukir “中华民国壬子年壬子月庚申日已卯, 弟子林汝义同合港同众商重修壳旦” (1912), sebuah papan tanda untuk mengingati perasmian Tokong Ling San Keng oleh Menteri Besar Johor pada tahun 1969, dua buah kerusi, sebuah loceng lama dan sebilah pedang.

Papan melintang “Xuan Tian Shang Di” (玄天上帝) (Gambar 25) dan “Gu Qing” (古罄) (Gambar 26) adalah dipercayai telah sedia ada di tokong itu pada tahun 1844 (iaitu tahun Kapitan Chen Kai Shun meneroka Kangkar Tebrau bersama-sama buruh-buruh China). Pada awalnya , tahun papan melintang tersebut dipasang adalah tercatat pada papan itu tetapi bahagian papan melintang yang tertulis “tahun” itu telah dikerat disebabkan papan melintang telah reput. Begitu juga terdapat dua perkataan Cina “日” (Hari) dan “月” (Bulan) diukir pada “Gu Qing”. Bagaimanpun, bahagian “Gu Qing” yang terukir “月” telah patah dan kehilangan dan sekarang hanya kelihatan bahagian yang terukir “日”. “Gu Qing” adalah sejenis alat muzik yang berfungis seperti “loceng” semasa upacara pemujaan dewa atau perarakan.

Tokong Ling San Keng pernah dibaikpulih sebanyak 3 kali. Kali pertama dijalankan pada tahun 1874. Sebuah papan melintang (牌匾,”Pai Bian”) dengan perkataan-perkataan Cina ”帝德扶持” telah digantung pada dinding tokong sehingga sekarang untuk mengingati peristiwa itu. Empat perkataan Cina itu bermaksud ”dewa merestui keamanan, keselamatan, kesihatan dan kehidupan harian penduduk-penduduk”. Perkataan “同治甲戌年” pada papan melintang itu bererti tahun ke-13 pemerintahan Maharaja Tong Zhi semasa Dinasti Qing, iaitu 1874. (Gambar 27) Papan melintang itu diderma oleh seorang penganut bernama Hong He Wen. Penghadiahan “Pai Bian” ialah satu tradisi masyarkat Cina di mana apabila seseorang berpindah ke sebuah rumah baru atau menjalankan kerja baikpulih atau kerja naiktaraf sesebuah bangunan, “Pai Bian” atau papan peringatan akan dihadiahkan kepada tuan rumah atau jawatankuasa pengurusan sesebuah pertubuhan atau pihak pengurusan bangunan tersebut sebagai tanda tahniah atau tanda peringatan. Papan melintang tersebut merupakan barang peninggalan terulung yang terukir tahun pembuatannya yang masih dijumpai di tokong itu.

Pada tahun 1911, kerja baikpulih kali kedua dijalankan ke atas Tokong Ling San Keng. Antara tiang-tiang melintang kayu yang dipasang pada berdekatan dengan bumbung tokong itu, terdapat sebatang tiang melintang itu yang ditulis “中华民国壬子年壬子月庚申日已卯, 弟子林汝芝同合港同众商重修壳旦”. “中华民国壬子年” bermakna tahun ke-2 penubuhan Republik Cina, iaitu than 1912. (Gambar 28) Perkataan-perkataan tersebut ditulis pada tiang melintang tersebut diderma oleh penganut yang bernama Lim Ru Yi bersama-sama peniaga-peniaga dan penduduk-penduduk tempatan Kangkar Tebrau untuk menghargai sumbangan dan sokongan masyarakat Cina tempatan dalam usaha untuk memajukan kegiatan dan perkembangan tokong tersebut.

Dalam tahun 1880-an, belum terdapat bekalan elektrik dan air di Kangkar Tebrau. Kehidupan penduduk-penduduk sangat bergantung kepada air perigi dari sebuah perigi yang terletak di tepi tokong itu. Air perigi yang diperoleh dari perigi-perigi lain tidak boleh diminum kerana air mengandungi banyak minyak. Hanya air dari perigi tersebut bersih dan tidak dicemari oleh minyak dan gejala ini boleh dianggap sebagai satu perkara yang aneh.

Di bawah bumbung tokong itu, terdapat sebatang tiang melintang mengingati kerja membaikpulih tokong pada 1911.

Di Tokong Ling San Keng, masih terdapat sebilah pedang (dipanggil 宝剑 “Bao Jian” dalam Bahasa Cina). Mengikut legenda, pedang itu dikatakan pernah digunakan oleh dewa Xuan Tian Shang Di dan berusia lebih daripada 100 tahun. Mengikut Encik Soh Lian Kau (Gambar 29), corak badan pedang itu agak luarbiasa dan bahagian pegang pedang itu diukir dengan corak tertentu. Walau bagaimanapun, pedang tersebut tidak diukir dengan apa-apa perkataan untuk membuktikan usianya. (Gambar 30) Pedang ini melambangkan pedang yang dipegang oleh dewa Xuan Tian Shang Di, seperti yang diterangkan di bahagian “Latar Belakang Dewa-Dewa”.

Cambuk Suci (sacred whip, 法绳) (Gambar 31) merupakan satu alatan yang digunakan oleh paderi Taosim untuk menghalau pelesit-pelesit dan semasa menyampaikan mesej dewa. Ia merupakan seutas tali yang sepanjang lebih kurang 20cm dengan ketebalan kira-kira 3cm. Tali ini disambungkan kepada seutas tali guni sepanjang kira-kira 1m yang digulung untuk membentuk badan ular dan ekor ular atau badan naga atau ekor naga. Tali guni itu kemudian disambungkan kepada sebatang kayu yang berbentuk kepala ular atau kepala naga.


2.8 Latar belakang Dewa-Dewa di Tokong Ling San Keng

Sesungguhnya, dewa utama yang disembahyang di Tokong Ling Shan Keng ialah Xuen Tian Shang Di, Kedudukan patung dewa ini terletak di tengah-tengah kawasan sembahyang (shrine). Dewa-dewa lain ialah Zhao Da Yuan Shuai (赵大元帅), Hua Guang Da Di (华光大帝), San Zhong Sheng Wang (三忠圣王) dan Fu De Bo Gong (福德伯公) (kadangkala juga digelar Fu De Zheng Shen 福德正神).

Kedudukan altar dewa-dewa dalam tokong Lin San Keng adalah seperti berikut :



Dewa utama tokong, iaitu patung Xuan Tian Shang Di terletak di tengah-tengah tokong dan berhadapan dengan pintu utama. Di sebelah kiri ialah Hua Guang Da Di dan San Zhong Sheng Wang manakala di sebelah kanan ialah Zhao Da Yuan Shuai dan Fu De Bo Gong. Yang anehnya ialah terdapat satu papan peringatan (神位“shen wei atau 神主牌“shen zhu pai “atau spirit tablet) yang tertulis nama 陈开顺 (Chen Kai Shun) di sisi patung Fu De Bo Gong. Sebelum itu, papan peringatan dengan nama Chen Kai Shun tidak kelihatan di dalam tokong itu. Papan peringatan Chen Kai Shun ini hanya ditempatkan di kedudukan sekarang sejak 1989, atas cadangan Encik Fong Shi Xiang, bekas ahli Jawatankuasa Pengurusan Tokong Ling San Keng. Dalam kebudayaan kaum Cina, apabila seseorang itu meninggal, zuriat atau anak cucunya akan mendirikan sebuah papan peringatan dengan nama si mati itu diukir padanya dan diletakkan di atas altar untuk disembahyangkan. Dalam Taoism, papan peringatan itu bertindak sebagai ganti patung bagi nenek moyang. Sungguhpun kebanyakan dewa-dewi diwakili oleh patung-patung dalam tokong-tokong, tetapi kadangkala juga kelihatan papan-papan peringatan itu digunakan untuk menggantikan patung dewa-dewi. Adalah dipercayai oleh kaum Cina bahawa roh-roh nenek moyang atau semangat dewa-dewi juga tinggal di papan-papan peringatan tersebut. Antara kangcu-kangcu di negeri Johor, hanya Tan Kee Soon yang menikmati kebanggaan demikian. Tujuannya ialah untuk mengingati dan memuji jasa bakti beliau dalam meneroka dan memajukan Kangkar Tebrau dan Johor Bahru.

1. Xuan Tian Shang Di 玄天上帝

(a) Pengenalan
Xuan Tian Shang Di (Gambarajah 1 & Gambar 32) merupakan dewa utama di Tokong Ling San Keng. Di Johor Bahru, Xuan Tian Shang Di disambut dan disembahyangkan terutamanya oleh kaum Cina keturunan Teochew. Xuan Tian Shang Di mempunyai beberapa gelaran seperti Xauan Wu Da Di (玄武大帝, The Dark Martiality), Zhen Wu Da Di (真武大帝,The Dark/Mysterious Heavenly Upper Emperor),Bei Di (北帝, The Northern Emperor) dan sebagainya. Semasa Dinasti Qing, Xuan Tian Shang Di digelar Yuan Tian Shang Di kerana perkataan “Xuan” (玄) adalah salah satu pekataaan dalam nama Maharaja KangXi, iaitu Aixin-Jueluo Xuanye (爱新觉罗玄烨). Mengikut undang-undang pada masa itu, nama maharaja tidak boleh digunakan oleh sesiapa pun. Nama seseorang mesti diubahsuai atau ditukar sekiranya keadaan ini terjadi. Xuan Tian Shang Di merupakan salah seorang dewa Taoism yang berpangkat tinggi. Dia sangat dihormati sebagai dewa yang berkuasa, berkeupayaan untuk mengawal api dan dihormati oleh golongan seni mempertahankan diri (martial artist). Xuan Tian Shang Di sangat dihormati oleh maharaja-maharaja Dinasti Ming (1368 – 1644) sebagai dewa pelindung negara dan dewa perang. Pemerintahan Dinasti Ming telah membina banyak tokong Xuan Tian Shang Di dan dikelolakan oleh pihak kerajaan. Xuan Tian Shang Di dipercayai berkebolehan menolong umat manusia mengelakkan malapetaka dan masalah yang kena-mengena dengan air (banjir atau pelayaran) dan api (kebakaran) dan meningkatkan keupayaan peperangan dan memanjangkan hayat.

(b) Legenda latarbelakang Xuan Tian Shang Di

Terdapat dua legenda mengenai latarbelakang Xuan Tian Shang Di. Pertama, dia dikatakan bahawa berasal sebagai seorang putera dari negeri Jing Le di utara Hebei semasa pemerintahan Emperor Kuning (黄帝, Yellow Emperor). Semasa dia sedang membesar, dia berasa sedih dan susah hati terhadap kehidupan rakyat jelata. Dia pun meninggalkan istana dan pergi ke sebuah bukit yang terpencil, Wudang Mountains (武当山) untuk betapa, mengkaji Taosim dan mencari kebenaran. Selepas 44 tahun, dia telah berjaya dan naik ke syurga dan dilantik untuk menjaga urusan di bahagian utara bumi.

Legenda yang kedua menyatakan bahawa Xuan Tian Shang Di sebenarnya ialah seorang penjual daging yang telah menyembelih banyak binatang tanpa sebarang kesalan. Apabila masa berlalu dan umurnya semakin lanjut, dia mula berasa kesal atas kegiatan hariannya dan berhenti bekerja sebagai penjual daging lalu pergi ke sebuah bukit yang terpencil untuk mempelajari Taoism. Pada suatu hari, semasa dia membantu seorang wanita untuk bersalin dan membersihkan kesan-kesan darah pada pakaian wanita di sepanjang sebatang sungai, air sungai kelihatan keemasan. Wanita tersebut sebenarnya ialah Dewa Guan Yin (观音, Goddes Guan Yin). Demi menebus dosanya, dia telah mengeluarkan dan mencuci perut dan ususnya dengan air sungai. “Jade Emperor” telah terharu dengan keikhlasannya untuk menebus dosanya dan dia telah dijadikan dewa yang digelar “Xuan Tian Shang Di”.
Atas kepercayaan tersebut, Xuan Tian Shang Di dipuja terutamanya oleh pengusaha-pengusaha yang terlibat dalam perniagaan daging dan penyembelihan sebagai dewa pelindung perniagaan. Oleh itu, patung Xuan Tian Shang Di selalu kelihatan di pasaran penjualan daging dan pusat penyembelihan.

(c) Illustrasi Xuan Tian Shang Di

Xuan Tian Shang Di biasanya digambarkan sebagai seorang pahlawan gagah yang memakai jubah diraja. Tangan kirinya memegang sebuah materai yang berbentuk “tiga-gunung” manakala tangan kanannya memegang sebilah pedang. Mengikut legenda, pedang itu dikatakan telah dipinjam dari seorang dewa lain, Bao Sheng Da Di (保生大帝) untuk menangkap pelesit (evil spirit) kura-kura dan pelesit ular. Selepas kedua-dua pelesit tersebut telah dikalahkan, Xuan Tian Shang Di tidak mengembalikan pedang tersebut kepada Bao Sheng Da Di. Dia terus memegang pedang itu kerana dia bimbang sekiranya dia melepaskan pedang itu, pedang itu akan secara otomatik balik ke tangan tuanpunya asal. Selepas Xuan Tian Shang Di menyaksikan keupayaan pedang itu untuk mengalahkan pelesit kura-kura dan pelesit ular, dia enggan mengembalikannya kepada Bao Sheng Da Di kerana dia bimbang dia tidak dapat mengawal kedua-dua pelesit itu sekiranya dia tidak mempunyai pedang itu.
Setengah-setengah gambar melakarkan Xuan Tian Shang Di duduk di atas sebuah singgahsana dengan kaki kanannya menjejak pada seekor ular sementara kaki kirinya menjejak pada seekor kura-kura. Mukanya biasanya adalah merah dengan mata berbenjol. Penganut-penganut merayakan hari jadi Xuan Tian Shang Di pada hari ke-3 bulan ke-3 kalendar lunar Cina.

2. Hua Guang Da Di 华光大帝

Hua Guang Da Di kadangkala digelar Ling Guan Marshal Ma (灵官马元帅),Ling Guan Tiga Mata, Heavenly King Huang Guang (华光天王) atau Ma Tian Jun (马天君). Dia merupakan salah satu dewa penting dalam Taoism. Mengkut kepercayaan, namanya ialah Ma Ling Yao (马灵耀) dan oleh sebab dia mempunyai tiga mata, dia juga digelar Raja Tiga Mata Ma (马王爷三只眼). Mata ketiganya tumbuh di antara dua kening. (Gambar 33)

Mengikut rekod kitab-kitab Taoism, Hua Guang Da Di pernah menyelamatkan ibunya dari neraka dan kemudian dilantik oleh Maharaja Jed (The Jade Emperor, 玉皇大帝) sebagai seorang panglima di bawah perintah Xuan Tian Sahng Di untuk menjaga syurga disebabkan dia seorang yang gagah. Senjata Hua Guang Da Di ialah seketul batu-bata emas dan dia berkeupayaan menggunakan api untuk menawan hantu-hantu. Oleh itu, masyarkat Cina juga menganggap dia sebagai dewa api dan memujanya untuk mengelakkan kemalangan yang melibatkan kebakaran atau api. Adalah dipercayai bahawa hari jadi Hua Guang Da Di jatuh pada hari ke-18 bulan ke-9 kalendar Lunar Cina.

Hua Guang Da Di biasanya dipuja oleh golongan yang terlibat dalam bidang tembikar, perniagaan mendirikan pentas opera, dan terutamanya opera Kantonis. Pentas opera kantonis biasanya dibina daripada kayu buluh, papan kayu dan kepingan besi serta dihiasi dengan kain-kain dan lampu-lampu yang berwarna-warni. Pada zaman dahulu, semasa bekalan elektrik belum digunakan, lilin-lilin dan tanglung-tanglung digunakan untuk menyinarkan pentas. Jadi, adalah menjadi kebiasaan kebakaran selalu berlaku di pentas opera. Rekod sejarah pada tahun ke 32 pemerintahan Qian Long Dinasti Qing (1768), kebakaran yang berlaku di pentas opera di Foshan, Wilayah Kwangtong, telah meragut beratus-ratus nyawa penonton. Oleh kerana Hua Guang Da Di ditugaskan menjaga hal ehwal api, seniman-seniman opera Kantonis memuja Hua Guang Da Di untuk mengelakkan kemalangan dan menjamin kesejahteraan.

3. Zhao Da Yuan Shuai 赵大元帅

Zhao Da Yuan Shuai, kadang-kadang juga digelar Zhao Xuan Dan, bernama Zhao Gong Ming dan berasal dari Gunung Zhong Nan. Mengikut kepercayaan, pada akhir Dinasti Han, semasa China berada dalam keadaan huru-hara, dia telah menjauhkan diri dari dunia kebendaan dan hidup di kawasan pedalaman. Dia pernah membantu Zhang Dao Ling (张道陵天师) menjaga tokongnya. Maharaja Jed telah melantik dia sebagai Zheng Yi Xuan Dan Zhao Da Yuan Shuai (正一玄壇赵元帅).

Mengikut rekod buku bejodol San Jiao Yuan Liu (三教源流), Zhao Da Yuan Shuai mempunyai pengikut-pengikut seperti Lapan Jeneral Raja (八王猛将), Dewa Enam Bisa (六毒大神), Dewa Guruh dan Petir (五方雷神)dan Dua PuluhLapan Jeneral (廿八将军). Mengikut sebuah lagenda lagi (封神榜), Zhao Da Yan Shuai ialah seorang jeneral berani yang berkhidmat kepada Dinasti Shang untuk membenteras pemberontakan negara feudal Chao terhadap pemeritahan Dinasti Shang. Dia telah terkorban dalam peperangan dan telah dilantik sebagai Dewa Kekayaan (Cai Shen). Juga dipercayai bahawa Zhao Da Yuan Shuai dapat membantu peniaga-peniaga mendapat keuntungan dan kekayaan dari perniagaan secara adil. Jadi, Zhao Da Yuan Shuai juga dipuja oleh masyarakat Cina sebagai Dewa Kekayaan (Wu Cai Shen, 武财神). Penganut-penganut menyambut harijadi Zhao Da Yuan Shuai pada haribulan ke-15 bulan ke-3 kalendar lunar Cina.


4. Fu De Bo Gong 福德伯公

Fu De Zheng Gong, kadangkala juga digelar Fu De Zheng Shen atau Tu Di Gong (土地公), bermakna dewa bumi yang menguruskan kekayaan dan memantau kerja amal (merit) manusia.
Di China, terdapat tempat sembahyang atau altar Fu De Zheng Gong di setiap kampung. Pada zaman dahulu, kegiatan ekonomi kampung-kampung terutamanya melibatkan pertanian atau aktiviti-aktiviti yang dipengaruhi oleh cuaca. Penduduk-penduduk kampung memuja dewa tersebut supaya kebuluran dan kemarau dapat dielakkan. Boleh dikatakan bahawa pada masa kini, kebanyakan keluarga Cina yang berkepercayaan Taoism juga mendirikan sebuah altar di dalam rumah atau di halaman rumah untuk memuja dewa tersebut. Lazimnya, altarnya terletak di bawah altar utama dewa-dewa lain atau di atas lantai di tepi pintu rumah. Penganut-penganut Taoism memuja dewa itu untuk menjamin kekayaan dan kesejahteraan hidup. Fu De Zheng Gong digambarakan sebagai seorang lelaki tua dengan janggut putih, memakai sebuha topi hitam atau keemasan dan sehelai jubah merah atau kuning, yang menandakan kedudukannya sebagai seorang birokrat. Tangan kanannya memegang sebuah benda kayu manakala tangan kirinya memegang seketul jongkong emas (golden ingot).

5. San Zhong Sheng Wang 三忠圣王

San Zhong Sheng Wang (三忠圣王) sesungguhnya bukan dewa. Sebaliknya ia mewakili tiga orang pegawai yang setia pada akhir zaman Dinasti Song (tahun 960 – 1279) di China. Mereka ialah Perdana Menteri Kiri (tahun 1276) Wen Tian-Xiang (文天祥), Perdana Menteri Kiri (tahun 1278) Lu Xiu-Fu(陆秀夫) dan Jeneral Zhang Shi-Jie(张世杰). Pada masa itu, bahagian China di utara Sungai Yangtze telah ditakluki oleh Tentera Mongolia dan Kublai Khan sedang merancang untuk menguasai seluruh China. Semasa kempen menentang serangan tentera Mongolia ke atas ibunegara Song Selatan, iaitu Lin-an (临安) (sekarang Hang-zhou 杭州), ketiga-tiga pegawai tersebut telah mengerahkan 10000 orang sukarelawan untuk menentang lawan. Selepas ibunegara jatuh ke tangan tentera Mongolia, mereka pun berundur ke wilayah-wilayah pantai, seperti Zhe-jiang (浙江), Fu-jian (福建) dan Guang-dong (广东) untuk terus berperang dengan tentera Mongolia.

Malangnya, Wen Tian-xiang telah ditawan oleh tentera Mongolia akibat kekalahan peperangan. Semasa di dalam penjara, rejim Mongolia (Dinasti Yuan) cuba memujuk beliau menyerah kalah melalui pelbagai cara, seperti ugutan dan rasuah, tetapi beliau sekalipun tidak dipengaruhi. Pada masa itu juga, beliau telah menggubah sebuah puisi “Zheng Qi Ge” (正气歌,Song of Righteousness) yang meluahkan semangat taat setia dan patriotiknya kepada negara dan bangsa. Beliau akhirnya dipancung oleh Dinasti Yuan.

Berkenaan dengan Lu Xiu-fu dan Zhang Shi-jie, kedua-duanya terus menyokong kerajaan Dinasti Song Selatan di Ya-san (崖山) di wilayah Guang-dong. Akhirnya, pada tahun 1279, tentera Mongolia menyerang dan menawan Ya-san. Lu Xiu-fu mendukung maharaja muda Zhao-bin dan melompat ke dalam laut bersama-sama keluarganya dan askar-askarnya yang enggan menyerah. Zhang Shi-jie pula mati lemas semasa berperang dengan tentera Mongolia kerana kapalnya karam di laut. Rakyat jelata menghormati serta mengenang ketaatan dan sumbangan tiga orang pegawai Song yang patriotik itu. Mereka telah mendirikan tokong-tokong di China untuk memuja mereka sebagai 3 orang tokoh patriotik Dinasti Song serta menyebarkan semangat patriotik mereka. Ketiga-tiga orang juga telah diberi gelaran “tiga pahlawan penghujung Song”. (宋末三杰)

Di setengah-setengah tokong Cina, ketiga-tiga tokoh tersebut digambarkan sebagai tiga patung yang berlainan. Walau bagaimanapun, dalam Tokong Ling San Keng di Kangkar Tebrau, mereka dipuja sebagai sebuah patung sahaja kerana ada penganut-penganut percaya ketiga-tiga mereka telah bersebati sebagai satu entiti kerana kepahlawanan dan ketaatan mereka untuk mempertahankan negara.

6. “Spirit Tablet” Kapitan Chen Kai Shun

Di sebelah patung “Fu De Zheng Gong”, kelihatan sebuah “spirit tablet” yang diukir nama Kapitan Chen Kai Shun dalam bahasa Cina. “Spirit Tablet” tersebut ditempatkan di tokong ini sebagai sebuah kawasan sembahyang untuk beliau pada 1989. (Gambar 37) Pada hari pertama bulan ketujuh kelendar Lunar setiap tahun, upacara memuja beliau akan diadakan sejak 1989 untuk memperingati jasa bakti beliau dalam usaha membangunkan Kangkar Tebrau dan seterusnya Johor Bahru. Antara kangcu-kangcu di negeri Johor, hanya Kapitan Chen Kai Shun seorang sahaja yang menikmati kebanggaan tersebut.

No comments:

Post a Comment