Friday, September 17, 2010

BAB 3 KEGIATAN TOKONG

Tokong Ling San Keng mengadakan pelbagai kegiatan setiap tahun. Setengah-setengahnya dijalankan sekali setahun manakala sesetengahnya dijalankan setiap minggu atau beberapa kali setahun.

Kegiatan-kegiatan yang dijalankan adalah seperti berikut :
3.1 Perayaan Menyambut Hari Jadi Dewa Xuan Tian Shang Di

Pada hari ke-3 bulan ke-3 kalendar lunar Cina, jawatankuasa pengurusan Tokong Ling San Keng akan mengadakan kegiatan untuk menyambut hari jadi dewa utama tokong tersebut, iaitu Xuan Tian Shang Di. Biasanya, kegiatan tersebut mengambil masa selama 3 hingga 4 hari. Opera akan dijemput untuk menyampaikan persembahan dan jamuan juga diadakan. Penganut-penganut bukan sahaja datang dari daerah Kangkar Tebrau tetapi juga dari daerah-daerah lain di negeri Johor. Mereka sama-sama menggemblengkan tenaga dan menderma wang untuk menjayakan kegiatan tahunan tersebut. Melalui kegiatan tersebut, penduduk-penduduk setempat berpeluang untuk berkumpul bersama-sama dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

Kegiatan menyambut hari jadi Xuan Tian Shang Di juga member peluang kepada jawatankuasa pengelola tokong untuk mengutip derma supaya keadaan kewangan tokong terjamin dan stabil. Di samping itu, sempena kegiatan ini, biasanya jawatankuasa tokong juga akan mengambil peluang ini untuk menderma dalam bentuk kewangan kepada sekolah-sekolah dan rumah-rumah kebajikan. Ini merupakan salah satu daripads sumbangan tokong tersebut terhadap masyarakat.

3.2 Perarakan Tokong Kuno Johor

Pada zaman Johor Bahru mula diteroka, iaitu pada tahun 1850-an, perarakan dewa-dewa dijalankan di Johor Bahru pada tempoh perayaan Tahun Baru Cina setiap tahun. (Gambar 39) Perarakan itu dijalankan selama 5 hari. Terdapat 5 dewa yang terlibat dalam perarakan tersebut. Pada masa sekarang, perarakan ini adalah dikelolakan oleh Tokong Lama Johor (Johor Bahru Old Temple, 柔佛古庙). Tetapi, sebelum Tokong Lama Johor wujud, 4 dewa yang ada di Tokong Lama Johor itu dikatakan adalah berasal dari Tokong Ling San Keng, Kangkar Tebrau. Kelima-lima dewa tersebut mewakili kumpulan dialek terbesar kaum Cina pada masa itu. Antaranya Xuan Tian Shang Di, Hua Guang Da Di dan Zhao Da Yuan Shuai dijemput dari Tokong Ling San Keng manakala Gang Tian Da Di dari sebuah tokong lagi di Kangkar Tebrau, iaitu Tokong Tian Cun Gong yang berhadapan dengan Tokong Ling San Keng.

Pada masa itu di Johor Bahru, kumpulan-kumpulan dialek kaum Cina yang berlainan memuja dewa-dewa yang berlainan. Umpamanya, kumpulan Teochew memuja Xuan Tian Shan Di, kumpulan Hainan memuja Zhao Da Yuan Shuai, kumpulan Kantonis memuja Hua Guang Da Di dan kumpulan Hakka memuja Gang Tian Da Di. Semasa perayaan perarakan itu, patung-patung dewa-dewa tersebut akan dihantar ke Johor Bahru untuk menyertai perarakan. Kegiatan itu juga memberi peluang kepada kangcu-kangcu yang berselerak di seluruh Johor untuk bertemu dan berinteraksi. Setiap kangcu akan menghantar perahu-perahu atau kapal-kapal kecil dan membawa sepasang tanglung untuk menyertai kegiatan itu. Peserta-peserta membawa lampu-lampu yang dibuat daripada kertas plastik dan buluh dan tertulis perkataan “cili”, “gambir”, “nanas”, “getah” dan nama-nama makanan seperti beras, jagung dan sebagainya. Adalah dipercayai bahawa ini akan membawa tuah, kesenangan kepada kehidupan dan hasil tanaman yang lumayan dalam tahun yang akan datang.

3.3 Fuji atau Fuluan (Planchette Writing扶箕 / 扶乩 / 扶鸞)
Fuji atau Fuluan ialah satu cara penulisan semangat (spirit writing) atau penulisan plancet (planchette writing) yang biasanya dilakukan di tokong-tokong Taoism. Satu penapis atau sebatang kayu digunakan untuk menulis perkataan-perkataan Cina pada pasir atau abu colok. Kegiatan tersebut dijalankan pada malam setiap hari Jumaat dari pukul 7.30 malam di Tokong Ling San Keng. Penulisan “Fuji” melibatkan perkataan-perkataan atau perbendaharaan kata khas. Ia merupakan satu cara digunakan secara meluas dalam masyarakat Cina yang beragama Taoism untuk membuat ramalan (divination). Lazimnya, apabila seseorang itu menghadapi sesuatu masalah yang tidak dapat diselesaikan atau menemui kegagalan dalam kehidupan harian atau ingin mendapat panduan atau ramalan tentang sesuatu tindakan, dia mungkin akan tampil untuk meminta pedoman dewa melalui cara itu.
Aktiviti ini melibatkan beberapa orang peserta yang dikatakan memiliki keupayaan tertentu. Dua orang (atau kadangkala seorang) lelaki yang memegang penapis atau stilus (stylus) itu (Gambar 40) dikenali sebagai “tangan plancet” (planchette hand , jishou 乩手), tetapi hanya seorang dikatakan dipunyai oleh dewa (ostensibly possessed by a spirit; god or immortal; transcendent). Pembantu-pembantunya termasuk seorang (dikenali sebagai level sand,“ pingsa 平沙”) yang ditugaskan untuk meratakan permukaan pasir dalam sebuah takung, seorang pembaca plancet (planchette reader, “dujizhe读乩者”) yang menterjemahkan perkataaan-perkataan yang ditulis, dan seorang lagi yang mencatatkan maknanya (planchette copyist, “chaojizhe 抄乩者”). (Video) Stilus dipasang pada bahagian bawah seketul kayu berwarna merah yang diukir bentuk kepala naga pada satu hujung manakala hujung kayu satu lagi merupakan tiga cabang yang membolehkan stilus ini menegak di atas meja.

3.4 Sambutan Ulangtahun ke-155 Pembukaan Kangkar Tebrau
Tahun 1999 merupakan tahun yang amat bermakna kepada Kangkar Tebrau kerana ia merupakan ulangtahun ke-155 pembukaan Kangkar Tebrau. Pada 1844, Kapitan Chen Kai Shun telah mendapat Surat Sungai dan membawa anan-anak buahnya dari Singapura ke Johor untuk meneroka Kangkar Tebrau. Pada 10-09-1999, upacara perasmian sambutan tersebut telah diadakan di Tokong Ling San Keng, Kangkar Tebrau dan kebetulan pada masa yang sama, Perayaan Kuih Bulan juga disambut. Sambutan itu disempurnakan dengan kerjasama jawatankuasa pengelola Tapak Kuno Kangkar Tebrau dan Persatuan Peniaga-Peniaga Bergerak Selatan Johor. Tempoh sambutan itu adalah sepanjang 18 hari di mana pelbagai acara kebudayaan dipersembahkan. Jalan-jalan di Kangkar Tebrau telah dihiasi dengan 500 buah tanglung merah. Upacara sambutan itu telah dirasmikan oleh YB Dato Jimmy Low, ahli exco negeri Johor pada masa itu. (Gambar 41) Tokong Ling San Keng dipilih sebagai tempat upacara perasmian kerana sejarahnya adalah sama lama seperti Kangkar Tebrau. Matlamat utama sambutan itu ialah untuk menyedarkan masyarakat Cina tentang semangat bertungkus-lumus generasi awal dan semangat bekerjasama antara pemerintah dan rakyat serta mengenangi jasa bakti dan sumbangan mereka terhadap kemajuan Johor Bahru.


3.5 Sambutan Hari Kebudayaan Masyarakat Cina Peringkat Kebangsaan ke-17

Sambutan Hari Kebudayaan Masyarakat Cina Peringkat Kebangsaan ke-17 telah diadakan di Johor Bahru pada tahun 2000. Upacara dimulakan pada 03-09-2000 di Stulang Laut, Johor Bahru di mana upacara memuja dewa-dewa diadakan sebelum perlumbaan perahu naga dimulakan. Sempena sambutan itu, satu acara belayar perahu dari Stulang Laut ke Kangkar Tebrau telah diadakan. Pelayaran akan mengikut Selat Tebrau dan Sungai Tebrau serta melalui Jambatan Permas Jaya dan Jambatan Pandan, iaitu jalan yang diikuti oleh Kapitan Chen Kai Shun untuk tiba ke Kangkar Tebrau. Perahu-perahu itu dinaiki oleh ahli-ahli persatuan-persatuan Cina di Johor Bahru, ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahliDewan Undangan Negeri dan pemimpin-pemimipin masyarakat Cina di Johor Bahru. Destinasi akhir pelayaran tersebut ialah Tokong Ling San Keng kerana tokong itu merupakan tokong yang paling tua di Johor Bahru. Upacara ini lebih kurang sama seperti peristiwa yang berlaku pada 156 tahun dahulu di mana dewa-dewa dijemput dari tokong-tokong di Kangkar Tebrau ke Tokong Lama Johor Bahru yang melambangkan kebudayaan itu akan diwarisi turun-temurun. Apabila peserta-peserta upacara sampai ke Tokong Ling San Keng, upacara pemujaan dewa juga diadakan di situ. (Gambar 42 )

No comments:

Post a Comment