Friday, September 17, 2010

BAB 4 KESAN DAN PENGARUH POLITIK DALAM TOKONG

Pengaruh politik wujud di setiap sudut dalam masyarakat. Biasanya pemimpin-pemimpin tempatan akan cuba menjalinkan hubungan yang mesra dan rapat dengan pihak pemerintah supaya kegiatan-kegiatan mereka, sama ada dalam bidang perniagaan atau lain, akan berjalan lancar. Dalam mencapai tujuan-tujuan tersebut, pemimpin-pemimpin etnik itu juga perlu mendapat sokongan dari penduduk-penduduk tempatan. Sokongan boleh didapati dengan cara melibatkan diri dengan giatnya dalam pertubuhan-pertubuhan dan persatuan-persatuan tempatan dan bersifat etnik. Pemimpin-pemimpin politik menggunakan tokong sebagai salah satu tempat untuk bercampur gaul dan mendekati rakyat jelata untuk mendapat sokongan mereka demi maju dalam bidang politik. Pertubuhan-pertubuhan dan persatuan-persatuan tempatan, seperti Tokong Ling San Keng, pula berharap untuk mendapat peruntukan kewangan dan bantuan supaya perkembangan dan kegiatan-kegiatan mereka dapat berjalan dengan lancar.

Chen Kai Shun, peneroka Kangkar Tebrau dan juga pengasas Tokong Ling San Keng, mempunyai pengaruh dan memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam bidang politik negeri Johor. Sejak beliau dianugerahkan Surat Sungai untuk meneroka Kangkar Tebrau, beliau telah banyak memberi sumbangan kepada perkembangan kawasan itu dan jasanya telah diiktirafkan oleh Temenggong Ibrahim. Seterusnya, beliau telah dilantik oleh sebagai Kapitan Cina yang pertama di Johor. Ini dapat menggambarkan bahawa beliau mempunyai hubungan yang erat dengan pihak pemerintah Melayu. Dengan itu, beliau telah diberi amanah untuk bertanggungjawab ke atas pasukan keselamatan tempatan kerajaan Johor. Kerajaan juga memberi keizinan kepada Kongsi Ngee Heng untuk menjalankan kegiatan mereka secara terbuka. Chen Kai Shun sebaliknya telah dapat menggunakan kemudahan-kemudahan yang diberikan oleh kerajaan Johor untuk memperbaiki kehidupan anak-anak buahnya dan penduduk-penduduk tempatan supaya dapat terus mendapat sokongan mereka. Tokong memainkan peranan yang penting kepada beliau untuk berhubung dengan, mendengar suara dan mengembling tenaga penduduk-penduduk tempatan untuk mencapai tujuannya.

Pada zaman moden ini, tokong masih berperanan untuk matlamat tersebut. Dalam sistem demokrasi berparlimen, pemimpin-pemimpin memerlukan sokongan pengundi-pengundi supaya dapat dipilih sebagai wakil rakyat, baik di peringkat persekutuan atau negeri. Oleh itu, ahli-ahli politik biasanya giat dalam aktiviti masyarakat tempatan, umpamanya kegiatan tokong. Ahli parlimen Kawasan Parlimen Tebrau, YB Teng Boon Soon dari Persatuan Cina Malaysia (Malayan Chinese Association MCA), ialah salah seorang daripada penasihat-penasihat kepada Tokong Ling San Keng. (Gambar 43) Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, seperti Dato Jimmy Low dan Dato Freddie Loong (bekas ADUN) juga melibatkan diri dalam upacara menyambut ulangtahun pembukaan Kangkar Tebrau di Tokong Ling San Keng pada 1999. Menteri-menteri, seperti Tun Dr. Ling Liong Sik (bekas menteri) juga menghadiri aktiviti Tokong Ling San Keng pada 2000. (Gambar 43) Pengerusi jawatankuasa Tokong Ling San Keng 2009 – 2011 ialah Encik Xie Qin De (谢金德). (Gambar 43) Beliau juga mempunyai latar belakang politik. Beliau pernah menjadi pengerusi MCA cawangan Kangkar Tebrau (1986 – 1990). Biasanya, melalui penglibatan dalam kegiatan tokong, ahli-ahli politik dapat menyampaikan fahaman politik kerajaan atau parti-parti tertentu kepada rakyat dan mendapat maklumbalas rakyat supaya polisi kerajaaan dapat diubahsuaikan.

No comments:

Post a Comment