Friday, September 17, 2010

BAB 5 KESIMPULAN

Penghijrahan kaum Cina dari negara asal mereka telah wujud beratus-ratus tahun dahulu. Sejak Dinasti Tang (900-an Masihi), kaum Cina telah mula berhijrah ke Asia Tenggara disebabkan oleh keadaan huru-hara di Negeri China akibat pemberontakan Wang Chao. Ramai orang Cina di bahagian Fujian dan Kwangdong telah meninggalkan China apabila kawasan-kawasan tersebut terjerumus dalam jurang peperangan. Penghijrahan-penghijrahan yang besar-besaran lain juga berlaku pada akhir Dinasti Song di mana Negeri China mula dikuasai oleh Orang Mongol dan diikuti pada zaman Dinasti Qing di mana Maharaja Kangxi telah menawan Taiwan daripada tentera Dinasti Ming dan menyatupadukan Negeri China. Pada masa tersebut, kehidupan yang tidak tenteram telah memaksa Orang Cina terpaksa mencari ikhtiar di luar Negeri China.
Penghijrahan kaum Cina ke Tanah Melayu adalah pada skala yang kecil semasa Kesultanan Melaka di mana hubungan antara Melaka dan Negeri China begitu erat sekali. Sebilangan kaum Cina telah berkahwin dengan orang-orang tempatan dan menetap di Melaka dan dipengaruhi oleh kebudayaan tempatan. Kemudian, disebabkan oleh dasar tertutup kerajaan Dinasti Ming, hubungan kumpulan penghijrah tersebut dengan negara asal telah semakin renggang dan semakin menyesuaikan diri dalam kebudayaan dan kehidupan tempatan. Mereka telah membentuk satu kumpulan yang digelar Nyonya-Baba. Sungguhpun corak pakaian dan bahasa pertuturan mereka telah berubah kepada atau dicampur-adukkan dengan Bahasa Melayu, tetapi mereka masih mengekalkan adat resam asal mereka.
Penghijrahan secara besar-besaran ke Tanah Melayu berlaku selepas Perang Candu di mana kerajaan Dinasti Qing telah kalah. Pada masa itu, penjajah British memerlukan banyak tenaga kerja untuk meneroka Tanah Melayu. Lebih-lebih lagi, kehidupan azab sengsara di Negeri China telah mendorong ramai orang Cina berpindah ke Asia Tenggara, terutamanya Tanah Melayu, untuk mencari rezeki dan membawa wang balik ke Negeri China. Sementara itu, mereka juga membawa bersama-sama budaya dan adat resam mereka ke situ. Salah satunya ialah kepercayaan atau dewa-dewa yang disembahyangkan. Jadi, tokong-tokong telah dibina dan dewa-dewa tertentu telah disembahyangkan oleh suku dialek tertentu di Tanah Melayu.
Tokong Ling San Keng di Kangkar Tebrau ialah hasil daripada penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu. Tokong merupakan bangunan agama yang penting dalam kehidupan masyarakat Cina. Masyarakat Cina yang datang ke Tanah Melayu pada awal 1800-an membawa bersama-sama nilai kepercayaan dan kebudayaan mereka setelah menyeberangi Laut Cina Selatan. Sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan dan dewa-dewi merestui mereka sampai ke destinasi dengan selamat, tokong-tokong telah dibina di samping berharap Tuhan menjamin kejayaan perniagaan, kesihatan dan keselamatan mereka. Kapitan Chen Kai Shun yang menyahut seruan Temenggong Ibrahim untuk menerokai Johor telah berjaya memajukan Kangkar Tebrau dan seterusnya memberi sumbangan kepada pembukaan Johor Bahru.
Kangkar Tebrau pada satu masa merupakan satu pusat pentadbiran kerajaan Johor dan berkembang dengan pesatnya. Penanaman gambir dan cili telah berjaya mengembangkan ekonomi Negeri Johor di bawah Sistem Kangcu yang diutarakan oleh Temenggong Ibrahim dan dimajukan oleh Sultan Abu Bakar. Kawasan itu telah diduduki oleh beberapa ribu orang penduduk dan Tokong Ling San Keng juga merupakan sebuah tokong yang sibuk dan terkenal pada masa itu. Malangnya, sejak Sistem Kangcu dimansuhkan pada tahun 1917 oleh Sultan Ibrahim dan pusat pentadbiran Negeri Johor kemudian telah dipindahkan ke Johor Bahru, perkembangan Kangkar Tebrau telah terjejas. Berikutan dengan proses urbanisasi di sekitar Kangkar Tebrau, kawasan ini telah dilupai oleh generasi muda.
Demi mengekalkan tempat-tempat bersejarah dan menjamin usaha dan sumbangan generasi lama terhadap negeri Johor tidak dilupai, banyak usaha hendak dijalankan supaya detik-detik sejarah yang berkenaan dengan Kangkar Tebrau dapat tercatat dalam buku. Di samping itu, budaya dan adat resam juga tidak akan ditenggelami oleh arus kebudayaan Barat. Jadi, masyarakat Cina Johor Bahru dengan kerjasama parti-parti politik Cina, seperti Persatuan Cina Malaya (MCA) Persatuan Hokien, Persatuan Teochew, Persatuan Hakka dan Persatuan Hainan dan Persatuan Kwandong telah mengambil banyak langkah untuk mencapai matlamat tersebut.

No comments:

Post a Comment