1.1 Pengenalan
Masyarakat Malaysia merupakan sebuah masyarkat majmuk. Rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum. Selain daripada bumiputra, kaum-kaum lain pada mulanya datang ke sini dengan tujuan perdagangan, seperti semasa Zaman Kesultanan Melaka. Pada masa itu, pedagang-pedagang dari Timur dan Barat telah bertumpu di situ. Ada di antara mereka telah menetap di situ tetapi bilangannya adalah kecil sahaja.
Penghijrahan kaum-kaum Cina dan India secara besar-besaran bermula selepas pihak British mula menjajah Tanah Melayu. Disebabkan oleh Revolusi Perindustrian yang berlaku-di Eropah, kuasa-kuasa Barat memerlukan bahan-bahan mentah seperti galian, getah dan sebagainya untuk mengembangkan sektor ekonomi mereka. Bahan-bahan mentah itu boleh didapati dari tanah-tanah jajahan di sebelah Timur. Bagaimanapun, usaha ini memerlukan banyak tenaga kerja untuk mendapat sumber-sumber tersebut. Pada masa itu, penduduk-penduduk di Tanah Melayu masih tidak begitu ramai. Oleh itu, British terpaksa memberi galakan dan membawa masuk tenaga kerja terutamanya dari Negeri Cina dan India.
1.2 Faktor-Faktor yang menggalakkan penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu
Kedatangan dan pemastautinan orang Cina di Tanah Melayu telah mula kelihatan pada tahun 1700-an dan 1800-an. Mengikut kenyataan oleh lima orang British dari kapal Pulo Condore yang karam di perairan pantai Johor pada 19 Mac 1702/3, mereka menjumpai “6 buah jung besar dan beberapa buah perahu di Johor Bahru”. Juga ternampak beberapa orang Cina yang tinggal dan berdagang di sana. Juga mereka melihat kira-kira 600 orang Cina besenjatakan pedang dengan sasarannya di situ” Jurnal Gray bertarikh 21 Januari 1827 pula mengatakan bahawa “Saya diberitahu oleh saudagar-saudagar bahawa mereka telah menjumpai lombong bujih timah, berhampiran dengan Sungai Leppa (Lepar) yang jauhnya 2 hari perjalanan ke kawasan petempatan di Pahang. Ia diusahakan oleh kira-kira 800 orang Melayu dan beberapa orang Cina.” Abdullah, dari Sungai Pahang ke Kampung China (Pekan Baharu), melihat beratus-ratus orang Melayu dan Cina lengkap dengan senjata di tebing sungai. Orang-orang Cina itu terdiri daripada kumpulan dialek Hakka.
Kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu secara besar-besaran bermula sejak kurun ke -19. Pada tahun 1881 seramai 89900 orang Cina telah tiba di Singapura dan Pulau Pinang. Jumlah ini atelah meningkat kepada 224100 orang pada tahun 1901 dan dijangka lebih 6 juta orang Cina telah memasuki Tanah Melayu antara 1895 hingga 1927. Kebanyakan orang Cina yang datang ke Tanah Melayu itu berasal dari tiga wilayah selatan di Negeri China, iaitu Kwangdong, Kwangxi dan Fukien.
Antara faktor-faktor penolak kepada penghijrahan beramai-ramai orang Cina ke Asia Tenggara amnya dan Tanah Melayu khususnya ialah kawasan-kawasan tersebut mempunyai sumber-sumber alam yang terhad dan masalah tekanan penduduk yang ramai di negara China. Kedatangan mereka bertujuan untuk bekerja dan menyara penghidupan masing-masing. Di samping itu, kebanyakan orang Cina dari wilayah selatan China mempunyai sifat-sifat keberanian, ingin mengembara dan mahir dalam ilmu pelayaran. Semangat ingin mengembara ini telah mendorong mereka cuba mencari penghidupan baru di seberang laut.
Selain itu, penghijrahan keluar orang Cina dari negara asal adalah didorong oleh bencana alam yang sering melanda negara itu. Sebahagian besar rakyat China tinggal di kawasan lembah Sungai Hwang Ho dan Sungai Yang–tze. Kedua-dua kawasan itu merupakan kawasan yang padat penduduknya tetapi selalu dilanda banjir yang besar dan dahsyat. Hasil-hasil pertanian di situ yang membekalkan sebahagian besar bahan-bahan makanan bagi seluruh negeri China selalu dimusnahkan. Ini menyebabkan kebanyakan rakyat China menghadapi masalah kekurangan makanan dan kebuluran.
Masalah pertambahan penduduk yang pesat menyebabkan keluasan tanah yang boleh diusahakan untuk kegiatan oleh sebahagian besar daripada penduduknya yang terdiri daripada petani semakin terbatas. Dari awal pemerintahan Dinasi Qing (Manchu) hingga akhir kurun ke-18, jumlah penduduk bertambah dari lebih kurang 100 juta ke lebih daripada 400 juta. Pertambahan penduduk yang berlipat ganda berbanding dengan keluasan tanah pertanian telah mengakibatkan timbunya masalah kemiskinan dan kemerosotan taraf hidup kaum tani. Masalah ini semakin buruk apabila tanah mereka dirampas oleh kerajaan akibat kegagalan membayar cukai yang tinggi. Kecepatan dalam menghasilkan bahan-bahan makanan dan peluang untuk memperoleh pekerjaan tidak seimbang dngan kadar kecepatan dalam pertambahan penduduk. Salah satu cara untuk mengatasinya ialah berpindah ke tempat lain untuk mencari penghidupan baru.
Satu aspek yang sering ditemui dalam sejarah negara China ialah pemberontakan dan perang saudara kerap berlaku. Ini disebabkan oleh perasaan tidak puas hati yang timbul akibat penindasan daripada pihak pemerintah dan tekanan daripada masalah kemiskinan yang berterusan. Setiap kali berlakunya pemberontakan dan huru-hara, ribuan nyawa telah terkorban. Semasa pemerintahan Dinsati Qing atau Manchu (1644 – 1911), kebanyakan masa negara berada dalam keadaan yang tidak aman kerana terdapatnya gerakan-gerakan penentangan yang bertujuan untuk menggulingkan Dinasti Qing, terutamanya di bahagian selatan China kerana mereka menganggap dinasti itu sebagai pemerintah asing. Antaranya ialah Pemberontakan Taiping (1857 – 1867) yang dipimpin oleh Hung Hisu-Chuan di wilayah Kwangdong dan Kwangxi, rusuhan di timur laut Chihli (1891) dan Pemberontakan Boxer (1899 – 1901). Ketidakstabilan politik dalam negeri menyebabkan rakyat sentiasa hidup dalam ketakutan. Perkembangan ini telah mendorong rakyat biasa dan mereka yang terlibat dalam pemberontakan untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Pada peringkat awal, orang Cina yang berhijrah ke Tanah Melayu tidak berminat untuk menetap selama-lamanya di situ. Mereka datang ke situ bertujuan untuk bekerja dan menyimpan wang seberapa banyak yang boleh sebelum balik ke negari China untuk menemui keluarga masing-masing. Walau bagaimanapun, disebabkan desakan hidup yang semakin genting, mereka terpaksa memberi perhatian kepada soal-soal kebendaan dan telah berhijrah ke seberang laut secara besar-besaran dengan membawa bersama keluarga masing-masing.
Selain daripada faktor-faktor penolak tersebut, wujud juga faktor-faktor penarik yang menyebabkan kaum Cina berhijrah ke Tanah Melayu. Antaranya ialah galakan penjajah-penjajah Barat amnya pada masa itu, pihak British dalam kes Tanah Melayu khasnya, telah memberi galakan untuk membawa masuk warga-warga asing ke Asia Tenggara untuk memajukan dan mengembangkan sektor ekonomi di rantau tersebut. Akibat Revolusi Perindustrian pada kurun ke-19, pihak British memerlukan banyak bahan mentah dan galian untuk dijadikan sebagai input dalam perindustriannya. Lantaran itu, British telah memberi galakan kepada orang Cina dan India memasuki Tanah Melayu supaya mereka melibatkan diri dalam sektor-sektor ekonomi, seperti pelombongan dan penanaman.
Di samping itu, perubahan sikap kerajaan China yang menggalakkan perpindahan keluar rakyatnya juga dapat menjelaskan berlakunya penghijrahan orang Cina secara besar-besaran selepas pertengahan abad ke-19. Sebelum itu, kerajaan Cina tidak memerlukan perdagangan atau hubungan ekonomi dengan negara-negara luar dan mengamalkan ekonomi sara diri. Akibat daripada berbagai-bagai masalah dalaman telah mempengaruhi kerajaan Manchu untuk mengubah pendiriannya. Mulai 1860, larangan ke atas penghijrahan keluar telah dilonggarkan apabila China menandatangani satu perjanjian dengan Britain dan Perancis yang membenarkan rakyat China berhijrah dan bekerja di tanah-tanah jajahan mereka di Asia Tenggara. Pelbagai kemudahan dan insentif, seperti wang pendahuluan tambang, diberikan menyebabkan ramai orang Cina berpindah keluar dari negeri China. Arahan juga dikeluarkan kepada gabenor-gabenor wilayah supaya perlindungan diberikan kepada orang-orang Cina yang kembali semula dari seberang laut. Ini merupakan satu jaminan kepada para penghijrah kerana sebelum itu sesiapa yang berpindah keluar tidak dibenarkan kembali.
Satu persetujuan dicapai antara kerajaan Manchu dan British untuk mengawasi bersama kontrak penghijrahan (indentured migration) yang melibatakan orang Cina yang diambil bekerja sebagai buruh di tanah jajahan dan negeri-negeri di bawah lindungan British. Perjanjian itu ditandatangani di London dan dikenali sebagai Emigration Convention Respecting the Employment of Chinese Labour in the British Colonies and Protectorates. Dengan itu, tindakan penghijrahan orang Cina ke seberang laut bukan lagi satu kesalahan di sisi undang-undang. Malahan, kerajaan China telah menggubal undang-undang untuk melindungi semua penghijrah China dan pegawai-pegawai dilantik untuk membantu dan melindungi kaum Cina di seberang laut.
1.3 Petempatan orang-orang Cina di negeri Johor
Orang-orang Cina tidak membuat petempatan di kawasan pedalaman Johor sehingga selepas tahun 1830-an. Pada 1834, Begbie menganggarkan jumlah penduduk di bandar-bandar Johor, Pulau Tinggi, Sungai Papan dan Segamat, tetapi tidak menyebut tentang orang-orang Cina. Begitu juga dengan Newold yang mengira jumlah kampung-kampung kecil pada tahun 1839. Tetapi, pada penghujung tahun 1830-an, orang-orang Cina dari Singapura telah mula berpindah lebih jauh ke pedalaman dan telah memasuki Johor. Pada tahun 1836, terdapat seramai 35000 orang Melayu dan beberapa orang Cina di Timiong (Temiang). Newbold tidak menyebut tentang orang-orang Cina di tempat-tempat lain termasuk daerah Muar dan Segamat.
Johor, di bawah pemerintahan Temenggung Ibrahim, mula berubah dari sebuah negeri yang bergantung kepada hasil laut kepada pertanian. Pertanian gambir dan lada hitam menjadi tarikan utama kemasukan orang Cina ke Johor. Pada tahun 1870 sahaja, terdapat 30 ribu orang Cina terutama suku-suku dialek Teochew dan Khek menetap di negeri Johor. Orang Cina merupakan perintis dan banyak mendominasikan ekonomi pertanian ladang di Johor. Mereka dinaungi oleh Temenggung Ibrahim dan seterusnya Sultan Abu Bakar melalui satu sistem pajak yang terkenal, iaitu “Sistem Kangcu”.
1.4 Sistem Kangcu
Sistem Kangcu ialah satu sistem pajak tanah yang diperkenalkan oleh Temenggung Ibrahim dan kemudian dimajukan lagi oleh anak baginda, Sultan Abu Bakar.”Kangcu” bererti tuan sungai dalam bahasa Cina. Kangcu berkuasa ke atas sungai (biasanya anak sungai) dan tanah di kedua-dua tebing sungai. Tauke-tauke Cina yang hendak meneroka kawasan itu dan membuka ladang gambir dan lada hitam akan diberi “Surat Sungai” yang ditandatangani oleh Sultan Johor. (Lampiran1) Pemerintahan Temenggung Ibrahim menekankan dan menggalakkan kegiatan pertanian. Baginda membenarkan orang Cina masuk ke Johor untuk menjalankan kegiatan pertanian terutama lada hitam dan gambir. Sistem Kangcu telah digunakan untuk mengendali dan mengawasi orang Cina di Johor dan dimulakan di Johor sejak 1930-an.
Kangcu dapat dianggap sebagai satu unit kerajaan tempatan. Biasanya Kangcu akan tinggal di kangkar (kaki sungai atau tebing sungai). Kangkar merupakan unit pentadbiran di kawasan kebun gambir dan lada hitam. Perkataan “kangcu” secara khususnya membawa dua makna, iaitu:
(a) Ibu pejabat atau pusat pentadbiran seorang kangcu
(b) Sebuah kawasan perladangan
Kawasan tempat tinggal kuli-kuli pula dikenali sebagai bangsal. Kebanyakan bangsal di peringkat awal terdapat di Sungai Skudai, Danga, Melayu dan Tebrau Pada tahun 1845, terdapat 55 buah bangsal dan pada tahun-tahun 1860-an , 1200 buah. Saiz kangkar berbeza antara satu dengan yang lain. Kangkar yang kecil saiznya kurang daripada 2500 ekar manakala yang besar lebih 20000 ekar.
Sistem Kangcu merupakan campuran sistem Melayu, Cina dan Inggeris. Dengan ini, perjalanan sistem ini mudah diterima oleh pihak-pihak yang terlibat. Pihak Temenggung juga telah memberi galakan dengan pemberian taraf perintis. Umpamanya, kangcu tidak perlu membayar cukai selama tiga tahun. Insentif ini dan keluasan tanah Johor yang besar dan subur telah menyebabkan kangcu membawa masuk lebih ramai buruh Cina. Antara tahun 1855 -1862, seramai 70 ribu orang Cina telah dibawa masuk bekerja di ladang gambir dan lada. Pada tahun 1894, daripada keseluruhan 300,000 orang penduduk Johor, 210,000 terdiri dariapda orang Cina dan tenaga buruh tersebutlah yang sangat-sangat diperlukan untuk peningkatan pengeluaran dalam bidang pertanian.
Dalam “Surat Sungai”, dicatatkan undang-undang dan peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi oleh kangcu-kangcu. (Lampiran 2) Walau bagaimanapun, kangcu-kangcu tersebut juga mmpunyai kuasa yang luas di kangkar dalam aspek eknomi dan kawalan. Kangcu diberi monopoli atas aktiviti-aktiviti berikut :
(a) Penjualan arak
(b) Penjualan babi
(c) Perjudian
(d) Pajak Gadai
(e) Mengutip komisen atas barang-barang import dan eksport ang masuk ek kangkar dan pembekalan candu.
Kangcu juga mempunyai saham yang besar ke atas pengangkutan perahu yang masuk ke kangkar. Setiap kangkar perlu mempertahankan diri sendiri, menjaga hartabenda, mengawal penyeludupan dan memastikan buruh bekerja.
1.5 Sumbangan Sistem Kangcu dan Orang Cina Terhadap Perkembangan Ekonomi Johor
Sistem Kangcu bersama-sama dengan sistem pajak lain seperti pajak sungai, pajak kampung, pajak bandar dan pasar, monopoli candu dan hasil hutan telah membantu perkembangan ekonomi Johor. Pada tahun 1880, negeri Johor mengeksport 316 ribu pikul gambir dan lebih 56 ribu pikul lada. Satu lagi kesan ialah Sistem Kangcu menyebabkan petempatan-petempatan orang Cina secara sistematik dan kewujudan bandar, pekan atau kampung yang baru.
Permintaan yang tinggi untuk gambir dan lada menyebabkan harganya melambung. Contohnya, harga gambir meningkat daripada $5.00 sepikul pada tahun 1884 kepada $8.00 pada tahun 1889. Harga lada hitam pula meningkat daripada $12.00 sepikul kepada $20.00 sepikul pada tahun 1889. Harga kedua-dua tanaman itu berada paras yang tinggi sehingga tahun 1905. Faktor tesebut yang menyebabkan ramai orang Cina telah dibawa masuk untuk melibatkan diri dalam sektor pertanian ini. Secara tidak langsung, kawasan petempatan baru telah diwujudkan dan seterusnya dimajukan menjadi pekan dan bandar. Malahan, cukai yang dapat dikutip oleh kerajaan Johor juga meningkat. Pada dekad pertama abad ke-20, perusahaan gambir dan lada hitam merosot ekoran kemerosotan harga dan ancaman dari kemunculan tanaman getah. Banyak kangkar sudah beralih kepada tanaman getah.
1.6 Sejarah Kangkar Tebrau
Kangkar Tebrau berada lebih kurang 6 batu dari pusat bandaraya Johor Bahru. Ia berada di timur laut Johor Bahru dan Sungai Tebrau mengalir melaluinya.(Peta 1, 2 & 3) Pada kurun 1800-an dan sebelumnya, kawasan ini masih diliputi oleh hutan rimba dan binatang-binatang liar hidup di situ.
Pada tahun 1844, Temenggung Ibrahim telah mengeluarkan Surat Sungai yang kedua kepada Kapitan Tan Kee Soon atau Chen Kai Shun (陈开顺) (Lampiran 3) dan membenarkan beliau membina petempatan di Kangkar Tebrau. Chen Kai Shun telah membawa sekumpulan kuli Cina (kebanyakan dari suku dialek Teochew) dari Singapura ke Kangkar Tebrau dengan perahu. Mereka telah mendarat di Kangkar Tebrau dan mula meneroka kawasan itu. Pada masa itu, ramai peneroka telah meninggal kerana menghadapi banyak ancaman, seperti penyakit tempatan, ancaman binatang liar, masalah penyesuaian diri dengan iklim serta alam sekitar tempatan dan sebagainya.
Sumber ekonomi utama pada masa itu ialah penanaman gambir dan lada hitam disebabkan permintaan yang tinggi. Kemudian, tanaman tersebut telah digantikan oleh tanaman getah akibat kemerosotan permintaan gambir. Semasa kawasan itu dibuka oleh Chen Kai Shun, Kangkar Tebrau telah dikenali sebagai “Chen Cuo Gang” (陈厝港) oleh masyarkat Cina pada masa itu dan nama ini masih diwarisi sehingga hari ini.
Pada kemuncak kecemerlangan, Kangkar Tebrau diduduki oleh lebih daripada 4000 orang Cina. Pada masa itu, Kangkar Tebrau merupakan sebuah kawasan yang makmur dengan kedai-kedai, rumah pelacur, rumah judi dan rumah candu juga kelihatan di situ. Antara jalan-jalan utama di kawasan itu ialah Jalan Kangkar Tebrau dan Jalan Kangkar Kecil. Jalan-jalan itu pernah merupakan jalan yang sibuk dan ramai penduduk berlalu-lalang di situ. (Gambar 1) Bagaimanpun, akibat perkembangan kawsan itu diabaikan, sekarang hanya terdapat kurang daripada 20 buah keluarga yang masih tinggal di situ. Dari 1844 hingga 1855, Kangkar Tebrau merupakan pusat pentadbiran tempatan negeri Johor. Biasanya, pendatang-pendatang Cina yang awal akan mendirikan tokong, persatuan dan kemudian sekolah apabila mereka menetap di sesuatu tempat. Jadi, selain daripada lading-ladang, sebuah tokong juga telah didirikan oleh Chen Kai Shun pada 1844 dan sekarang tokong itu telah berusia lebih daripada 150 tahun. Juga dipercayai bahawa Persatuan Keng Chew (sekarang dikenali Persatuan Hainan) didirikan pada pada 1880. Sebuah sekolah rendah Cina yang dikenali sebagai Sekolah Rendah Yit Hwa (Yit Hwa National Type Primary School) (Gambar 2) juga didirikan di situ pada 1920 tetapi telah tutup pada 1966 kerana ketiadaan murid. Selepas Perang Dunia Kedua, terdapat juga sebuah majlis perundangan tempatan di Kangkar Tebrau tetapi ia juga dibubarkan pada 1960-an.
Pada tahun 1917, Sultan Ibrahim telah memansuhkan Sistem Kangcu dan ini menandakan permulaan kemerosotan Kangkar Tebrau. Di bawah Sistem Kangcu, Kangkar Tebrau telah menikmati kemakmuran dan kemajuan selama 73 tahun. Sungguhpun pada 1924, masih terdapat lebih kurang 5000 orang penduduk tinggal di situ, tetapi semakin ramai penduduk telah berpindah dari situ selepas itu.
Antara faktor-faktor yang menyebabkan keadaan tersebut termasuk :
(a) Johor Bahru yang didirikan pada tahun 1855 telah berkembang dengan pesatnya dan telah menggantikan Kangkar Tebrau sebagai sebuah pusat pentadbiran dan ekonomi negeri Johor. Selanjutnya, semakin ramai penduduk di situ berpindah ke Johor Bahru untuk mencari rezeki.
(b) Pada awalnya, mata pencarian utama penduduk-penduduk tempatan bergantung kepada gambir sebagai tanaman utama tetapi selepas permintaan gambir merosot, mereka terpaksa berpindah ke tempat-tempat lain untuk mencari nafkah.
(c) Semasa pemerintahan Jepun pada Perang Dunia Kedua, ramai penduduk di Kangkar Tebrau telah melarikan diri dan kemudian tidak balik ke situ lagi.
(d) Kebanyakan bangunan-bangunan di Kangkar Tebrau telah usang dan tidak sesuai untuk kediaman dan lebih-lebih lagi kawasan-kawasan perumahan baru seperti Kampung Baru Pandan, Taman Daya dan Taman Istimewa, telah didirikan di sekelilingnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment